Pengundi di Shah Alam mencari calon yang boleh mewakili dan membawa literasi politik jauh lebih tinggi di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kali ini.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Sivamurugan Pandian berkata, majoriti Melayu kelas menengah bandar di kawasan itu juga mahu calon yang mempunyai pendirian politik lebih kritikal untuk menjadi wakil rakyat mereka.

Jelasnya, ia terkandung dalam ciri-ciri 'kepala perang' iaitu calon yang faham ideologi politik, program keilmuan dan komuniti di sesebuah kawasan.

"Calon ini juga mesti berkeupayaan untuk menzahirkan perkhidmatan cekap, adil, amanah, telus serta membolehkan atau menggarap nilai-nilai politik sivil supaya mampu untuk berhadapan dengan apa sahaja cabaran serta keyakinan yang harus dibina berdasarkan komposisi pengundi di situ.

"Dalam konteks ini, kita lihat pengundi bandar akan memberi keutamaan kepada isu-isu serta mestilah membolehkan calon itu beribawa, boleh mengurangkan nilai-nailai masalah dalam politik serta saya rasa dan penting bagaimana boleh melihat perwatakan jiwa rakyat.

"Penting di sini, saya rasakan bahawa yang memahami kedudukan di Shah Alam mestilah seorang kepala perang yang mampu untuk membina kepercayaan, keyakinan dan pastikan tiada undi sabotaj atau protes daripada ahli parti sendiri," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.

BACA: Ahli MT UMNO bakal jadi calon BN di Shah Alam?

BACA: #MalaysiaMemilih: Azmin Ali dijangka bertanding di Shah Alam

Sivamurugan mengulas laporan seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang disebut-sebut bakal menjadi calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Shah Alam pada PRU kali ini.

Menurut sumber, pemilihan nama calon itu juga sudah mendapat perhatian dan makluman pimpinan tertinggi parti.

Dalam pada itu kata Sivamurugan, Parlimen Shah Alam merupakan salah satu kawasan 'puaka' yang menjadi tumpuan pada setiap PRU.

Tegasnya, pertembungan kritikal untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu dijangka memandangkan akan berlaku pertembungan tiga penjuru atau lebih di Shah Alam.

Bagaimanapun katanya, faktor 60 peratus pengundi berpendidikan tinggi juga harus diambil kira.

"Ini merupakan pertembungan kritikal untuk mendapatkan sokongan Melayu kerana ia merupakan kerusi tradisi PAS, mungkin kali ini kita boleh lihat pertembungan calon Pas, PAN, UMNO atau lebih lagi.

"Calon itu mesti mampu memenangi sokongan pengudi Melayu di sini serta perpecahan yang akan berlaku dalam kalangan pengundi.

"Individu itu juga perlu memenangi pengundi bukan Melayu sebanyak 30 peratus dan merangkumi India sebanyak 15 peratus," jelasnya.

Pada PRU13, Khalid Samad memenangi kerusi itu atas tiket PAS, menewaskan calon BN Datuk Zulkifli Noordin dengan majoriti selesa 10,939 undi.