POLITIK
Himpunan Turun Anwar: Nik Nazmi kesal MP Pas baca Qunut Nazilah

Nik Nazmi menyatakan kekesalan beliau terhadap tindakan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail yang memimpin bacaan Qunut Nazilah ketika Himpunan Turun Anwar pada Sabtu lalu.
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Alam Sekitar dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan kekesalan beliau terhadap tindakan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail yang memimpin bacaan Qunut Nazilah ketika Himpunan Turun Anwar di ibu negara, pada Sabtu lalu.
Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa itu, tindakan sedemikian seolah-olah menggambarkan seakan-akan Kerajaan MADANI bersifat anti-Islam.
“Perbezaan politik tidak wajar disalut dengan retorik kebencian agama,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Untuk rekod, ini merupakan kali kedua Zulkifli bertindak sedemikian; kali pertama dilakukannya susulan penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal, di Dewan Rakyat pada 2024.Nik Nazmi turut menegaskan, beliau tidak menyokong mesej yang dibawa dalam himpunan tersebut, namun, tetap menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman selaras dengan prinsip demokrasi.
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan serta pihak polis atas kerjasama mereka dalam memastikan kelancaran penganjuran himpunan yang dianjurkan oleh pihak pembangkang itu.
Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu turut mengingatkan agar kerajaan lebih berwaspada dalam memberikan respons terhadap himpunan berkenaan, khususnya dalam isu berkaitan sampah.
“Tindakan membesarkan isu seperti jumlah sampah yang dikutip mungkin kelihatan remeh, namun ia boleh ditafsirkan sebagai memperlekeh keresahan rakyat, bahkan mengandungi isyarat perkauman secara tersirat,” katanya.
Tambah Nik Nazmi, kerajaan perlu terus melaksanakan tanggungjawab dan mengambil kira kritikan rakyat, meskipun ia dizahirkan melalui bentuk demonstrasi, dan tidak hanya memberi reaksi bersifat defensif.
“Masa hadapan negara ini tidak dibina dengan retorik, tetapi dengan kejujuran, kerja keras, dan kesediaan untuk mendengar,” katanya lagi.
Himpunan yang berlangsung pada 26 Julai lalu dihadiri hampir 25,000 orang yang mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan.
Namun, atas semangat meraikan demokrasi, desakan tersebut disambut dengan sikap terbuka oleh pihak kerajaan yang memudahcara kelancaran perhimpunan tanpa sebarang bentuk intimidasi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami