KUALA TERENGGANU: Hubungan antara Pas dan UMNO masih baik, meskipun dua parti itu dilanda pelbagai konflik sejak kebelakangan ini, kata Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

"Hubungan dengan UMNO, Alhamdulillah masih baik secara umumnya. Kita anggap UMNO sebagai parti bukan sebagai individu," katanya mengulas mengenai hubungan dua parti itu yang dikatakan semakin dingin sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka November lalu.

Katanya hubungan baik kedua-dua parti itu dapat dilihat melalui kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi UMNO, Bersatu dan Pas, yang masih kukuh.

Dalam pada itu Abdul Hadi turut menafikan bahawa hubungannya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dingin, seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Saya rasa masih hangat, dekat Parlimen saya sama-sama duduk dekat-dekat (dengan Ahmad Zahid). Boleh tengok kerusi Parlimen itu sebelah saya Tan Sri Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Tun Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad), Datuk Seri Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Zahid Hamidi. Saya duduk di tengah-tengah jadi pendamai antara semua pihak," katanya sambil berseloroh.

Selain itu Abdul Hadi turut menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan pimpinan UMNO bagi meleraikan permasalahan, yang membelenggu dua parti itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Ulang Tahun PAS ke-70 di Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.