Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang Tan Sri Isa Samad berkata satu laporan akan dihantar kepada Jawatankuasa Disiplin parti tidak lama lagi berhubung tindakan 13 cawangan dalam bahagian itu yang membuat keputusan berlainan daripada perwakilan UMNO bahagian itu.

Katanya beliau meminta Setiausaha UMNO bahagian itu menghantar laporan itu kerana tindakan kumpulan itu mencemar amalan membuat keputusan secara kolektif yang dihormati anggota parti selama ini.

"Sokongan UMNO Bahagian Teluk Kemang kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) akan berkekalan. Kita akan terus memberi sokongan dan akan bersama beliau," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Semalam, sekumpulan ahli UMNO Bahagian Telok Kemang, yang mendakwa mewakili 13 cawangan mengadakan sidang media di sini, mendesak Presiden parti meletak jawatan kerana telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau.

Bagaimanapun, Isa berkata sebenarnya hanya lima ketua cawangan yang dikenal pasti terbabit dengan tindakan itu walaupun kumpulan itu mendakwa mewakili 13 cawangan.

Sambil menyatakan rasa kesal dengan tindakan kumpulan itu, beliau berkata ia tidak sepatutnya berlaku kerana UMNO bahagian telah membuat keputusan dalam mesyuarat perwakilan yang lalu menerusi usul menyokong Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Usul ini telah diluluskan sebulat suara. Tiada mana-mana bahagian membuat usul untuk mendesak Perdana Menteri meletak jawatan ketika itu. Oleh itu, saya menyatakan kesal yang amat sangat atas sikap yang dibuat oleh beberapa ahli dan ketua cawangan yang membuat keputusan berlainan daripada keputusan yang dibuat oleh perwakilan UMNO bahagian.