Skip to main content

Politik

Istiadat angkat sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan pagi ini

Istana Besar Seri Menanti_Astro AWANI
Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan baharu dijadual berlangsung di Istana Besar Seri Menanti hari ini. - Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA PILAH: Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti di sini hari ini.

Makluman mengenai istiadat berkenaan yang dijadualkan bermula jam 10.15 pagi itu dikongsikan kepada pengamal media menerusi aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun, sehingga kini identiti individu yang bakal dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu masih belum diketahui.

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan beliau telah mengemukakan tiga nama calon Menteri Besar kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan untuk dipertimbangkan.

Beliau berkata, perkara itu disampaikan ketika sesi menghadap Yang di-Pertuan Besar di Istana Hinggap di sini pada malam tadi.

"Saya baru selesai menghadap Kebawah Duli Tuanku Yang di-Pertuan Besar dan kami telah mengadakan perbincangan yang panjang lebar. Saya telah mengutus warkah kepada Tuanku dan secara peribadi serta rasmi menyerahkan warkah dan juga watikah.

"Saya telah mengemukakan tiga nama kepada Duli Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan menyerahkan ketiga-tiga nama itu atas budi bicara, perkenan serta hak mutlak Tuanku untuk memilih salah seorang daripadanya sebagai Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu," katanya.

Ahmad Zahid enggan mendedahkan identiti tiga calon berkenaan kerana menyifatkan itu adalah hak istana untuk mengumumkan.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan BN memenangi 18 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 11 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi. - Sinar Harian


 

Must Watch Video

Advertisement