Skip to main content

Politik

PRN Negeri Sembilan: Ahmad Zahid serah tiga nama calon MB kepada Yang di-Pertuan Besar

[TB]_Zahid Hamidi BN_IG Zahid Hamidi
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan telah mempersembahkan tiga nama calon Menteri Besar yang baharu kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, untuk pertimbangan dan perkenan baginda. - Foto Instagram Zahid Hamidi
Advertisement

SEREMBAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan telah mempersembahkan tiga nama calon Menteri Besar yang baharu kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, untuk pertimbangan dan perkenan baginda.

Ahmad Zahid berkata, beliau menyerahkan sendiri warkah serta watikah kepada baginda dalam sesi menghadap di Istana Hinggap pada lewat malam Sabtu.

Ia selepas BN dan Perikatan Nasional (PN) memperoleh majoriti dua pertiga dalam Pilihanraya Negeri Sembilan ke-16 (PRN16).

Menurutnya, pemilihan Menteri Besar baharu kini terletak sepenuhnya di bawah budi bicara dan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Besar.

“Saya baru selesai menghadap ke bawah Duli Tuanku Yang di-Pertuan Besar. Dan kami telah mengadakan perbincangan yang panjang lebar. Dan saya telah mengutus warkah pada Tuanku, dan saya secara peribadi dan rasmi telah menyerahkan warkah dan juga watikah pada Tuanku.

“Dan saya telah mengemukakan tiga nama kepada Duli Tuanku, dan saya serahkan tiga-tiga nama itu atas budi bicara Tuanku untuk perkenan, dan hak mutlak Tuanku untuk memilih salah seorang daripada nama-nama yang dikemukakan itu sebagai calon Yang Amat Berhormat Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti tiga calon berkenaan dengan menjelaskan bahawa pengumuman rasmi akan dibuat oleh pihak istana.

Pada masa sama, beliau turut mengesahkan bahawa semua nama yang dipersembahkan kepada Tuanku Muhriz adalah dalam kalangan calon BN.

Beliau turut memaklumkan bahawa keputusan mengenai pelantikan Menteri Besar dijangka diumumkan dalam masa terdekat oleh pihak istana.

“Tuanku dan istana akan mengeluarkan kenyataan secepat mungkin,” katanya lagi.

Mengulas mengenai pembentukan kerajaan negeri, Ahmad Zahid berkata, BN yang memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bersama PN yang memperoleh tujuh kerusi akan membentuk kerajaan Negeri Sembilan yang baharu dengan jumlah keseluruhan 25 kerusi.

Katanya, pembentukan kerajaan negeri adalah atas perkenan Tuanku Muhriz selepas keputusan rasmi PRN yang menyaksikan kerjasama kedua-dua parti itu memperoleh majoriti dua pertiga.

“Atas perkenan Tuanku, kerajaan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional akan terbentuk sebagai kerajaan baharu untuk Negeri Sembilan Darul Khusus, Insya-Allah,” katanya.

Beliau turut menjelaskan kehadirannya ke Istana Hinggap pada malam berkenaan adalah susulan titah Tuanku Muhriz agar beliau menghadap bagi urusan berkaitan pembentukan kerajaan negeri yang baharu.
 

Must Watch Video

Advertisement