KUALA LUMPUR:Isu penularan COVID-19 lebih penting berbanding pergolakan ahli politik yang mahukan perubahan dalam pentadbiran kerajaan.

Naib Presiden MIC, Datuk Sivarraajh Chandran berkata fokus perlu diberi dalam memperkukuhkan ekonomi dan meredakan kegusaran rakyat akibat pandemik COVID-19.

“Saya rasa terlalu awal dan tidak matang untuk kami bincangkan perkara mengenai pertukaran kerajaan dan sebagainya sekarang.

“Saya percaya kami mempunyai agenda yang lebih penting iaitu (menentang) COVID-19.

“Kami harus mengembalikan kegemilangan kami dan memperkasakan ekonomi kami kerana rakyat sedang merana,” katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.

Tambahnya lagi, parti MIC akan mengikut keputusan Barisan Nasional (BN) sama ada memberikan sokongan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menubuhkan kerajaan baharu menggantikan Perikatan Nasional (PN).

“Semalam BN membuat keputusan untuk mengkaji hubungan dengan PN.

“Saya percaya dan yakin pemimpin-pemimpin MIC akan membuat keputusan yang baik dan mengikut situasi serta untuk kebaikan rakyat.

“Kepimpinan MIC akan berjumpa dengan BN dan akan mengikut keputusan BN. Itu pendirian kami dari dulu,” ujarnya.

Pada Selasa, UMNO mengumumkan parti itu sedang membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN.

BACA: Jangan terkejut jika UMNO beri sokongan kepada Anwar - Tajuddin

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata UMNO memberi syarat baharu kepada kerajaan PN jika mahu meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin.

Sebelum itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang menyokongnya.

BACA: Teka-teki belum terungkai, siapa dalam senarai 120 sokong Anwar?

Bagaimanapun, menurut kenyataan Istana Negara, Anwar tidak menyenaraikan nama Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya ketika beliau menghadap Seri Paduka Baginda.

BACA: Maximus nasihat Anwar jangan bazir masa kerana rakyat sudah cukup derita


Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Anwar hanya mengemukakan jumlah ahli Parlimen dan tiada sebarang nama bagi mengukuhkan dakwaan beliau sebelum ini.