POLITIK
Isu Jalur Gemilang: Pandang serius, pertahan maruah negara - Puteri UMNO

Nurul Amal menegaskan bahawa kesalahan berulang dalam pemasangan dan pengibaran Jalur Gemilang perlu ditangani secara serius demi mempertahankan maruah dan kedaulatan negara. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menegaskan bahawa kesalahan berulang dalam pemasangan dan pengibaran Jalur Gemilang perlu ditangani secara serius demi mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.
Ringkasan AI
- Puteri UMNO gesa tindakan tegas terhadap kesalahan pengibaran Jalur Gemilang, termasuk pendakwaan, demi mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.
- Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menyeru agar bendera negara dikibarkan dengan penuh hormat, khususnya sempena sambutan bulan kemerdekaan.
- Puteri UMNO turut memperkukuh jentera di Sabah sebagai persiapan menghadapi PRN ke-17, dengan fokus mendekati pengundi muda wanita melalui strategi akar umbi.
Nurul Amal turut menyeru agar setiap helaian Jalur Gemilang dikibarkan dengan penuh hormat sebagai lambang kebanggaan rakyat Malaysia, khususnya sempena sambutan bulan kemerdekaan.
Dalam pada itu, Puteri UMNO Malaysia telah meneliti persiapan jentera parti di Sabah sebagai langkah awal menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 yang dijangka berlangsung pada tahun ini.
Dalam usaha memperkukuh kehadiran di lapangan, khususnya dalam mendekati pengundi muda wanita, sayap Puteri telah menggariskan pelan pengukuhan peranan di setiap bahagian. Langkah ini dilihat sebagai strategi penting bagi memastikan jentera Puteri memainkan peranan signifikan dalam kempen akar umbi.
"Puteri UMNO Malaysia dijangka memainkan peranan penting dalam menyampaikan mesej parti kepada golongan muda wanita, selari dengan pendekatan inklusif dan realistik yang digariskan oleh kepimpinan UMNO Sabah," katanya.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini memaklumkan bahawa jentera UMNO telah bersedia sepenuhnya, dengan pembahagian zon yang teratur dan petugas dari negeri-negeri lain telah mula digerakkan ke Sabah.
Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) turut diadakan baru-baru ini di Marina Sutera Harbour, yang disempurnakan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebagai simbol kesiapsiagaan parti menghadapi PRN Sabah.
Sementara itu, Zahid hari ini menjelaskan, isu agihan kerusi antara BN dan Pakatan Harapan (PH) sudah dimuktamadkan, dengan tidak akan berlaku pertindihan kerusi antara dua gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah nanti.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami