Perdana Menteri, Tan Sri Muhyddin Yassin diharapkan tidak akan melantik mana-mana pemimpin yang sedang dalam perbicaraan kes rasuah dan pecah amanah menduduki Kabinet baharu.

Gesaan itu disuarakan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang menegaskan, tindakan melantik pemimpin yang berhadapan dengan masalah sedemikian hanya akan mencetuskan kegelisahan rakyat.

“Walaupun dari segi undang-undang, seseorang individu dianggap tidak bersalah sehingga disabitkan hukuman.

"Tetapi rakyat tidak akan menerima segelintir mereka yang terlibat dengan korupsi sebagai menteri mahupun timbalan menteri,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan pada Isnin.

Dalam masa sama, Muhyddin juga, kata Dominic, harus segera membentuk Kabinet baharu demi meneruskan urusan pentadbiran kerajaan.

Menurut Dominic, di bahu Muhyiddin juga, harapan digalas agar beliau akan menjadi Perdana Menteri yang adil bagi semua kaum.

"Justeru itu, adalah dinasihatkan beliau melantik ahli Kabinet yang terdiri daripada berbilang kaum serta berkaliber untuk kerajaan.

“Malaysia adalah sebuah negara yang berbilang kaum, kemerdekaannya dicapai atas kesepakatan kaum yang berlainan bangsa.

"Kami berharap Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat mengekalkan tradisi keharmonian ini untuk membina sebuah kabinet yang berbilang kaum dalam kerajaan,” kata beliau lagi.

Dalam kenyataan itu, Dominic juga mengingatkan Perdana Menteri agar segera mengutamakan ekonomi yang terkesan akibat COVID-19.

Ini kerana, kata beliau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut mengesahkan negara semakin terjejas kerana peningkatan COVID-19 daripada paras tinggi kepada paras merbahaya.