Skip to main content

Politik

'Jangan tunggang isu Melayu-Islam demi politik' - Ketua AMK

SIDANG MEDIA KEADILAN
Muhammad Kamil (foto) berkata isu membabitkan RCI Tabung Haji wajar dilihat daripada aspek keberkatan sumber pendapatan yang diagihkan kepada pendeposit bagi tujuan menunaikan rukun Islam kelima. -Foto Astro AWANI
Advertisement

AYER KEROH: Umat Islam diingatkan agar tidak terperangkap dengan sentimen politik sempit pembangkang membabitkan isu institusi Melayu-Islam, sebaliknya perlu menilai sesuatu perkara berasaskan fakta, ilmu dan integriti sumber kewangan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata kepimpinan masa kini bertanggungjawab memberikan pencerahan tuntas kepada masyarakat bagi mengelakkan institusi strategik seperti Lembaga Tabung Haji (TH) berdepan risiko kelumpuhan akibat salah urus tadbir kewangan pada masa lalu.

Jelasnya, isu membabitkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji wajar dilihat daripada aspek keberkatan sumber pendapatan yang diagihkan kepada pendeposit bagi tujuan menunaikan rukun Islam kelima.

"Kita tidak menafikan hak mana-mana pihak untuk mengumpul kekayaan, tetapi kaedah perolehannya mestilah sah mengikut lunas undang-undang.

"Bagaimana kita boleh mengizinkan sumber yang datang daripada cara yang salah digunakan untuk membayar dividen, dan dividen itu pula digunakan untuk membiayai ibadah haji?

"Di manakah konsep keberkatan dan sumber yang halal?" katanya pada sidang media sempena Kongres Nasional AMK di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada Jumaat.

Kamil turut memberi amaran bahawa kegagalan mendedahkan ketirisan terdahulu boleh mengakibatkan institusi penting itu menanggung padah seperti krisis kegagalan Bank Bumiputra suatu ketika dahulu.

Dalam perkembangan berkaitan, mengulas peranannya menyuarakan isu dasar kewangan dan subsidi rakyat di atas pentas kongres, Kamil menegaskan tindakan tersebut dibuat atas kapasiti beliau sebagai Ketua Pemuda yang memikul mandat suara akar umbi.

Menjawab pandangan segelintir pihak mengenai kedudukannya sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, beliau menjelaskan platform parti merupakan medan penting untuk menyampaikan denyut nadi rakyat pelbagai lapisan kepada kepimpinan tertinggi negara.

"Apa yang kita suarakan ini lahir daripada maklum balas rakyat di peringkat bawah. Kita mahu cadangan dasar yang dikemukakan mampu memberi impak positif menyeluruh, daripada golongan B40, M40 sehinggalah ke T20.

"Langkah ini penting bagi mewujudkan faktor kelegaan (feel-good factor) serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kesinambungan dasar Kerajaan MADANI," ujarnya.

Must Watch Video

Advertisement