Semua janji Barisan Nasional (BN) Selangor dalam manifestonya untuk negeri ini boleh dilaksanakan setelah mengambil kira kemampuan kewangan kerajaan negeri.

"Semua dah dikira, pendapatan kerajaan negeri, sumber kewangan kerajaan negeri sudah dikira dan kami yakin semua perkara yang disentuh dalam manifesto BN Selangor yang diumumkan pada Ahad lepas kami dapat tunaikan jika menjadi kerajaan negeri nanti," kata Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Semua perkara yang diumumkan dalam manifesto berkenaan telah dibincangkan bersama pakar-pakar ekonomi dan kewangan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Guru Pembina Bangsa di sini hari ini.,

Manifesto bertemakan 'Better Selangor. Yakinlah, BN Lebih Baik!' dirangka bagi memenuhi lima matlamat utama parti itu untuk menjadikan Selangor lebih gemilang.

Lima matlamat utama berkenaan adalah Kestabilan Politik dan Pentadbiran Negeri Berprestasi Tinggi; Keselamatan, Kesejahteraan dan Kemakmuran Rakyat; Infrastruktur dan Kemudahan Asas Mesra Pengguna; Ekonomi Berkembang Maju, Mampan, Inovatif dan Berdaya Saing di peringkat Global serta Kesepaduan Rakyat Tonggak Utama Kelestarian Pembangunan Sosioekonomi Negeri.

-- BERNAMA