PONTIAN:UMNO telah diminta oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar menjelaskan perincian syarat-syarat baharu yang diletakkan berhubung kerjasama parti itu dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerusi surat rasmi.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Pengerusi PN itu telah menyampaikan permintaan berkenaan menerusi Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada Khamis.

Bagaimanapun, menurut Ahmad, permintaan itu hanya akan ditunaikan oleh UMNO selepas Majlis Tertinggi parti berkenaan selesai bermesyuarat pada Selasa ini.

“Perdana Menteri melalui Dato Seri Hamzah Zainuddin meminta supaya kami menghantar surat kepada beliau selaku Pengerusi PN (berkenaan) apa yang dibincangkan dalam sidang video baru baru ini.

“Saya ingin menangguhkan surat ini sehingga selesai mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi pada Selasa,” katanya kepada wartawan di Benut, di sini pada Jumaat. 

Majlis Tertinggi UMNO sepatutnya mengadakan mesyuarat pada esok secara persidangan video, namun, ditangguhkan sehingga Selasa memandangkan kesemua ahli mahu bersemuka dan mengadakan perbincangan secara langsung.

Sehubungan itu, mesyuarat berkenaan akan diadakan pada Selasa di sebuah lokasi di luar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pada sidang video bersama Muhyiddin pada Rabu malam, Ahmdan dan Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyentuh mengenai soal perjanjian atau syarat baharu yang memerlukan penambahbaikan dalam persefahaman politik antara UMNO dan PN.

Ahmad pada Selasa lalu memaklumkan, UMNO meletakkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik dengan kerajaan PN.

UMNO juga mengumumkan parti itu sedang membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN.

BACA: UMNO pertimbang tarik diri daripada menyokong PN

BACA: 
Jangan sensasikan syarat UMNO kepada PN - Pemuda Pas