Skip to main content

Politik

Jemputan PAU: Pas akan buat keputusan - Tuan Ibrahim

[TB]_Muktamar Pas, Pas 2_ASTRO AWANI
Tuan Ibrahim ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pas ke-72 di Kota Bharu hari ini. - Foto Astro AWANI
Advertisement

KOTA BHARU: Pas akan membuat keputusan sama ada menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 sekiranya menerima jemputan rasmi daripada parti itu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya difahamkan jemputan berkenaan akan diterima menjelang perhimpunan tersebut minggu depan.

“Insya-Allah, kita juga difahamkan akan mendapat jemputan daripada UMNO untuk menghadiri PAU pada minggu hadapan.

“Parti akan buat keputusan, insya-Allah,” katanya ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pas ke-72 di Kota Bharu hari ini.

Tanpa merujuk secara khusus kepada hubungan Pas dan UMNO, Tuan Ibrahim kemudian menggunakan perumpamaan orang bercinta dan berkelahi.

Perumpamaan itu menggambarkan bahawa hubungan yang baik bergantung kepada kedekatan hati, bukan semata-mata jarak fizikal.

“Sepatah kata orang tua-tua, bila orang sedang bercinta, jauh pun cakap perlahan-lahan. Bila orang berkelahi, dekat pun cakap kuat. Sepatutnya bila dekat, cakap perlahan. Tetapi orang berbalah ini walaupun dekat, dia cakap kuat.

“Orang berbalah, hatinya jauh walaupun jasadnya dekat. Orang bercinta pula walaupun jasadnya jauh, tetapi hatinya dekat,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki hadir mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Muktamar Pas.

Ahmad Zahid dilaporkan membatalkan kehadirannya pada saat akhir kerana mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan.

Turut hadir ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh pada Muktamar Pemuda Pas dan Ketua Ulama UMNO, Datuk Dusuki Ahmad pada Muktamar Dewan Ulama Pas.

PAU 2026 dijadualkan berlangsung selama empat hari dari 9 hingga 12 September di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Perhimpunan itu akan dimulakan dengan taklimat Presiden UMNO pada 9 September, diikuti persidangan sayap parti serta Perhimpunan Agung UMNO pada 11 dan 12 September.

Must Watch Video

Advertisement