KUALA LUMPUR: Nik Nazmi Nik Ahmad yang dilantik sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, merupakan seorang pemimpin muda tetapi cukup berpengalaman dalam hal ehwal pentadbiran.

Ahli Parlimen Setiawangsa berusia 40 tahun itu merupakan antara 28 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membarisi Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Kerjaya lulusan King's College London dalam bidang undang-undang itu bermula sebagai Eksekutif Perundangan di Permodalan Nasional Berhad (PNB), sebelum beralih kerjaya menjadi Setiausaha Sulit kepada Anwar pada 2006.

Nik Nazmi mula menyertai pentas pilihan raya umum (PRU) ketika menjadi calon paling muda mewakili PKR dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008 dan telah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia di Selangor.

Beliau kemudian dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi tempoh 2008 hingga 2010.

DIARI 100 HARI KABINET KERAJAAN PERPADUAN PM ANWAR IBRAHIM

Pada PRU berikutnya pada 2013, Nik Nazmi berjaya mempertahankan kerusi DUN Seri Setia dan dipilih menjadi Timbalan Speaker DUN Selangor.

Kerjayanya semakin berkembang apabila memegang portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, sewaktu pentadbiran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar negeri itu, pada 2014 hingga 2018.

Namanya semakin dikenali di medan politik sejak PRU14 pada 2018, apabila mewakili PH untuk bertanding di kerusi Parlimen Setiawangsa yang merupakan antara kubu UMNO ketika itu, dengan menewaskan dua pesaingnya, Tan Sri Zulhasnan Rafique (Barisan Nasional (BN)) dan Ubaid Abdul Akla (PAS), selepas memperoleh 14,372 majoriti undi.

Selain itu, Nik Nazmi berkhidmat dalam beberapa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, antaranya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri pada 2019-2020 dan Ahli bagi Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan pada 2019-2022.

Kabinet Kerajaan Perpaduan | Pengumuman Kabinet Kerajaan Baharu oleh Perdana Menteri


Pada PRU15 19 Nov lepas, Naib Presiden PKR itu sekali lagi menang di kerusi Parlimen Setiawangsa dengan 12,164 majoriti undi, menumpaskan lima pencabarnya iaitu calon daripada BN, Perikatan Nasional (PN) serta Pejuang dan dua calon Bebas.



Selain itu, beliau turut memainkan peranan penting mengasaskan Program ADUN Muda Selangor iaitu platform bagi mahasiswa menimba pengalaman sebagai pembuat undang-undang, yang diperkenalkan pada 2014.

Selain aktif dalam arena politik serta memperjuangkan agenda reformasi dicetuskan oleh Anwar, Nik Nazmi juga pernah menulis beberapa buku dalam Bahasa Melayu serta Bahasa Inggeris antaranya "9 Mei 2018: Catatan Dari Garis Depan" dan "Malaysian Son: A Progressive's Political Journey in the Heart of Southeast Asia", masing-masing diterbitkan pada 2019 dan 2022.

-- BERNAMA