Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, jika terdapat mana-mana parti pembangkang ingin bekerjasama, mereka perlu mengikut 'cara' partinya, lapor Malaysiakini.

Ahli Parlimen Marang itu dilaporkan berkata, syarat itu dikenakan kerana Pas telah lama bertapak di negara ini berbanding parti pembangkang yang lain.

Kata Abdul Hadi, Pas sebelum ini telah melalui pelbagai jatuh, bangun dalam arena politik yang tidak pernah dirasai oleh parti lain.

"Kita parti paling lama dalam kalangan parti-parti (pembangkang) itu. (Kita) mengalami peristiwa rebah, bangun.

"Parti lain tak pernah alami pengalaman ini. Kita alami, sebab itu orang lain tak boleh nak ajar kita dalam politik. Kita lebih matang dari orang lain.

"Mereka kena ikut Pas kalau (nak) bekerjasama," katanya pada sidang media selepas merasmikan Himpunan Muslimat Muda di Shah Alam hari ini.

Abdul Hadi mengulas pandangan beberapa pihak yang menganggap Pas sebagai penentu kemenangan pembangkang di negara ini ekoran terdapat beberapa pihak ingin bekerjasama dengan parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu.

Bekas menteri besar Terengganu selama satu penggal itu juga dilaporkan berkata parti pembangkang lain tidak boleh memandang 'ringan' terhadap Pas dan menjadikan mereka sebagai 'anak tangga' untuk menang pada pilihan raya umum akan datang.

"Kalau mereka tahu kekuatan Pas, mereka tak boleh pandangan ringan pada Pas.

"Pas tak boleh jadi anak tangga untuk naik sahaja. Tak boleh," katanya lagi.

Biarpun Abdul Hadi mendakwa parti pimpinannya itu tidak boleh dipandang ringan namun kajian yang dibuat oleh Ilham Center mendapati Pas kini semakin lemah dan ahlinya pula keliru dengan arah tuju pimpinannya.

BACA: Pas semakin lemah, ahlinya pula keliru - penganalisis

Malaysiakini juga melaporkan Abdul Hadi sebagai berkata, Pas belum bersedia untuk mengadakan kerjasama politik kerana terdapat sikap tertentu dalam parti pembangkang lain yang tidak digemarinya.

"Perundingan dari segi kerjasama, penyelarasan kempen supaya tak bertembung, itu boleh dibuat," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Himpunan Muslimat Muda di Shah Alam hari ini.

Kerjasama bersifat untuk politik masih terlalu jauh dengan sikap-sikap sedemikian rupa pada mereka, kata Hadi, dalam keadaan DAP yang didakwanya bersikap cauvinis dan Parti Amanah Negara (Amanah) pula didakwanya lebih oportunis.

Mengenai kerjasama dengan dengan parti pembangkang lain, Abdul Hadi berkata parti Islam itu bersedia berbincang tentang penyelarasan agar tidak bertembung pada pilihan raya akan datang.

Katanya, Pas terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana NGO mahupun parti politik untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang kecuali dengan Amanah.

Ini kerana, menurut Abdul Hadi, perbincangan tidak perlu dilakukan bersama kerana anggota Amanah yang sebelum ini anggota Pas meninggalkan parti Islam itu.

"Perundingan (kita terbuka) sepanjang masa. Pas boleh buat (rundingan) termasuk sesiapa sahaja, termasuk NGO.

"Kita parti terbuka, matang, sejahtera. Apapun, keputusan akan berbalik pada pimpinan kita.

"(Kecuali) Pan (Amanah) dulu meninggalkan kita, jadi tak perlu la kita (berunding)," katanya.