KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) mengumumkan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.

Presiden KDM, Datuk Peter Anthony berkata sokongan yang diberikan itu tidak bersyarat selain bertujuan agar fokus dapat diberikan kepada rakyat terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, Limbahau dan Bandau.

"Saya bersama-sama pimpinan tertinggi di peringkat KDM membuat keputusan memberi sokongan penuh kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor bagi menerajui kepimpinan peringkat tertinggi di negeri Sabah.

"Di peringkat kami KDM tidak ada syarat untuk kami memberi sokongan ini. Bagi kami apa yang penting bagi kita adalah usaha kita untuk sama-sama membangunkan negeri Sabah dan juga usaha kita untuk membantu masyarakat kita terutama pengundi-pengundi kita di kawasan seperti di (DUN) Melalap, Limbahau dan Bandau," ujar Peter dalam satu sidang media di pejabat KDM pada Selasa.

Dalam pada itu, Peter turut menambah pengumuman yang dibuat itu selari dengan seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Kerajaan Perpaduan ditubuhkan di Sabah selain berkata terpulang kepada Hajiji sama ada menerima sokongan tersebut ataupun sebaliknya.

"Kita memberi sokongan dan kita tidak meminta apa-apa syarat dalam sokongan ini selain terpulang kepada Hajiji sama ada sokongan ini diterima atau tidak," katanya.

Untuk rekod, KDM memiliki satu kerusi Parlimen Kota Marudu, dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu, Melalap, Limbahau dan Bandau.

Pada 7 Januari, KDM mengisytiharkan menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Hajiji, sehari selepas Barisan Nasional (BN) Sabah mengumumkan keputusan yang sama.