ALOR SETAR:Kedudukan kerajaan negeri Kedah yang diwakili gabungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak terjejas dengan kemelut politik yang berlaku di negeri Perak ketika ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor menzahirkan keyakinan penuh terhadap kesetiaan yang ditunjukkan kesemua ADUN gabungan parti yang memerintah kerajaan negeri itu terhadap kepimpinannya.

Menurut Sanusi, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan mana-mana parti di negeri Kedah sama ada yang mewakili kerajaan ataupun parti pembangkang yang diwakili Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

"(Situasi di Perak) tidak menjejaskan sama sekali dalam hubungan parti parti dalam kerajaan negeri, saya baik dengan PPBM, baik dengan UMNO, baik dengan parti pembangkang pun saya kawan, apa yang dimaklumkan oleh mereka (pembangkang) kita dengar, yang boleh (mampu) kita buat, tidak jejaskan sama sekali hubungan parti-parti di Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri sesi taklimat khas oleh Lembaga Wilayah Kemajuan Kedah (KEDA) di Ibu Pejabat KEDA, di sini pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, beliau yakin tidak akan berlaku sebarang usul mengenai undi percaya atau undi tidak percaya terhadapnya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang akan datang.

Bagaimanapun, jelas Sanusi, beliau tidak boleh menghalang mana-mana ADUN yang untuk bertindak sedemikian dan menarik sokongan terhadapnya memandangkan keputusan bukanlah terletak pada ADUN-ADUN di Kedah sebaliknya, mereka hanya mengikut arahan parti masing-masing di peringkat Pusat.

Kedudukan kerusi di DUN Kedah ketika ini menyaksikan Pas memiliki 15 kerusi, Bersatu (6 kerusi) dan Barisan Nasional/ UMNO dengan 2 kerusi di pihak kerajaan.

Manakala pembangkang diwakili 5 ADUN daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (4 ADUN), DAP dan Pejuang masing-masing 2 ADUN.

Pada Ahad, Pas menyifatkan isu pembentukan kerajaan di Perak sebagai suatu keadaan terasing yang hanya melibatkan negeri berkenaan.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berharap, isu di Perak tidak akan berkembang ke negeri lain selain mempengaruhi keadaan politik di peringkat nasional.