POLITIK
‘Keluar UMNO bukan untuk jadi MB Selangor atau bertanding PRK’ - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul berkata, akan terus memberi tumpuan kepada portfolionya sebagai Menteri MITI selagi masih dalam Kabinet, atau sehingga tempoh senatornya tamat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sekali lagi menegaskan tiada sebarang niat untuk bertanding dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK).
Ringkasan AI
- Tengku Zafrul menegaskan beliau tidak berniat untuk bertanding dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil, sama ada di peringkat DUN atau Parlimen, dan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai spekulasi.
- Beliau akan terus memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai Menteri MITI sehingga tamat tempoh sebagai senator pada Disember, dan menyerahkan kedudukannya kepada keputusan Perdana Menteri.
- Selepas keluar daripada UMNO dan menyertai PKR, beliau menyatakan hasrat untuk terus menyumbang kepada negara dalam pelbagai cara, walaupun tanpa jawatan dalam kerajaan.
“Saya serahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tentang kedudukan saya sebagai Menteri. Saya berniat untuk meneruskan sumbangan saya di dalam MITI, dan sudah tentu untuk menghabiskan tempoh senator saya, yang akan berakhir pada Disember.
“Dan saya sudah sebutkan banyak kali, bila saya keluar daripada UMNO, saya tiada niat untuk menyertai sebarang PRK. Saya tidak tahu kenapa anda (media) sering bertanya soalan yang sama, ini semua adalah spekulasi.
“Dan keputusan saya keluar daripada UMNO tiada kena mengena dengan dakwaan saya ingin memegang jawatan lain dalam kerajaan, baik sebagai menteri ataupun menteri besar,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada sidang media menyempurnakan Majlis Sosialisasi Serantau Pelan Strategik Komuniti ASEAN (AEC) untuk Visi Komuniti ASEAN 2045 di ibu negara, pada Khamis.
Pada 30 Mei lepas, Tengku Zafrul mengumumkan pengunduran dirinya daripada UMNO, selain memaklumkan hasrat menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Tambahnya lagi, beliau telah menghantar surat peletakan jawatan kepada pucuk pimpinan UMNO, dan turut melepaskan jawatan sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli parti.
Ditanya mengenai perancangannya selepas tamat tempoh sebagai senator, Tengku Zafrul berkata beliau masih ingin terus menyumbang kepada negara dalam apa jua cara sekali pun.
“Ia tidak bermaksud anda harus ada kedudukan di dalam kerajaan. Anda masih boleh menyumbang kepada kerajaan, kepada negara dalam pelbagai cara.
“Bagi saya, itu penting. Tetapi dari sudut politik, saya masih ingin terus berkhidmat kepada negara, dan saya sudah sebutkan perkara ini sebelum saya menyatakan niat untuk menyertai PKR lagi,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami