Skip to main content

Politik

Kemelut DUN: ADUN UMNO Negeri Sembilan tolak dakwaan ‘tebuk atap’

Sumber: Jalaluddin Alias
ADUN berkenaan memaklumkan tindakan berkenaan bukan dilakukan secara sulit atau melalui rundingan pintu belakang, sebaliknya mencerminkan hak sah wakil rakyat dalam menentukan sokongan terhadap kepimpinan kerajaan. - Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Empat belas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO-Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menolak dakwaan kononnya tindakan parti itu menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai usaha 'tebuk atap' atau cubaan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri. 

Sebaliknya, mereka menegaskan langkah itu adalah pendirian politik yang dibuat secara terbuka, rasmi dan berasaskan prinsip susulan hilangnya keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar. 

Advertisement

Dalam satu kenyataan, ADUN berkenaan memaklumkan tindakan tersebut bukan dilakukan secara sulit atau melalui rundingan pintu belakang, sebaliknya mencerminkan hak sah wakil rakyat dalam menentukan sokongan terhadap kepimpinan kerajaan. 

"Isu yang timbul tidak wajar dilihat sebagai pertikaian politik biasa, sebaliknya melibatkan krisis lebih besar yang menyentuh Institusi Adat, Perlembagaan Negeri serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan. 

"UMNO-BN tidak mencampuri urusan adat. Namun apabila tindakan dan kenyataan eksekutif kerajaan negeri dilihat memasuki ruang adat serta mencetuskan pertikaian awam, selain Exco UMNO-BN tidak dimaklumkan sewajarnya, maka parti tidak boleh terus memikul tanggungjawab bersama," kata kenyataan itu di sini, pada Selasa. 

Tambahnya, keputusan menarik sokongan bukan semata-mata berkait prestasi harian Menteri Besar, tetapi melibatkan keyakinan terhadap kebijaksanaan kepimpinan dalam mengurus isu sensitif berkaitan institusi. 

Selain itu, menurut kenyataan itu, UMNO-BN Negeri Sembilan turut berpandangan bahawa isu berkaitan adat dan pentadbiran negeri perlu ditangani dengan kefahaman mendalam terhadap konteks tempatan, justeru ruang penjelasan sewajarnya diberikan kepada pimpinan dan wakil rakyat negeri berkenaan. 

Dalam masa sama, parti berkenaan menegaskan pendirian menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, selain menghormati Institusi Raja-Raja Melayu dan mempertahankan Institusi Adat Negeri Sembilan. 

"Segala langkah selepas ini hendaklah dibuat mengikut lunas perlembagaan, undang-undang negeri dan tertib institusi," ujarnya. 

Pada masa yang sama, UMNO-BN Negeri Sembilan turut menyeru semua pihak, termasuk Pakatan Harapan (PH), agar tidak meremehkan isu tersebut dengan menyempitkannya kepada naratif “tebuk atap” atau perebutan kuasa semata-mata. 

Katanya, rakyat negeri itu berhak mendapat penjelasan yang telus berhubung punca krisis, termasuk persoalan mengapa Exco UMNO-BN tidak dimaklumkan serta bagaimana keyakinan terhadap pentadbiran negeri dapat dipulihkan.

Must Watch Video