SEREMBAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pemimpin DAP Negeri Sembilan mengadakan mesyuarat tergempar petang ini dipercayai bagi membincangkan isu pentadbiran kerajaan negeri.
Ia susulan pengumuman 14 ADUN Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Advertisement
Sekitar jam 2 petang, ibu pejabat DAP di Kemayan Square dihadiri beberapa pemimpin parti itu diketuai Setiausaha Agung DAP yang juga ADUN Chennah, Anthony Loke.
Anthony ketika ditemui memaklumkan pihaknya akan bertemu dengan Aminuddin di kediaman rasmi Menteri Besar petang ini sejurus selesai mesyuarat parti.
Dijangka satu sidang akhbar akan dibuat selepas pertemuan dengan Aminuddin.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi membabitkan DAP (11), Parti Keadilan Rakyat (PKR) (5) dan Parti Amanah Negara (Amanah) (1), manakala BN memperoleh 14 kerusi, sementara Pas (3) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) (2).
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias pada pagi Isnin mengadakan sidang akhbar bagi memaklumkan BN Negeri Sembilan sebulat suara hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Aminuddin.
Keputusan itu dibuat susulan krisis yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.
Rentetan daripada itu, lima ADUN Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan menyatakan kesediaan bekerjasama dengan 14 ADUN BN.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker dalam sidang akhbar khas di sebuah hotel di sini, selepas tiga jam pengumuman dibuat oleh BN Negeri Sembilan. -- Sinar Harian