KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemas, Ridzuan Ahmad, berpandangan bahawa menukar kepimpinan kerajaan negeri pada waktu ini tidak sesuai dan berpotensi menimbulkan ketidakstabilan.
Beliau yang juga ADUN Bersatu berkata sebarang perubahan besar dalam landskap politik sewajarnya diserahkan kepada mandat rakyat melalui Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Advertisement
“Semua pihak harus tumpu kepada isu-isu rakyat, kos sara hidup, peluang pekerjaan, kesejahteraan sosial serta pembangunan ekonomi negeri,” katanya menerusi kenyataan akhbar yang disiarkan hari ini.
Pada masa sama, Ridzuan turut menyatakan mengambil pendirian berkecuali berhubung perkembangan semasa politik Negeri Sembilan.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat berdasarkan tindakan 14 ADUN Barisan Nasional (BN) yang telah menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun ketika ini.
“Pendirian ini selari dengan prinsip untuk mengutamakan kestabilan, kematangan politik dan kebajikan rakyat melebihi kepentingan politik jangka pendek,” katanya lagi.
Sementara itu, dalam satu kenyataan pada Isnin (4 Mei), ADUN Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker turut mengambil pendirian berkecuali terhadap perkembangan politik semasa di Negeri Sembilan.
"Pendirian ini dibuat selepas pertimbangan yang teliti dan menyeluruh, dengan mengambil kira kepentingan rakyat serta keperluan mendesak untuk memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara.
"Keutamaan kami adalah memastikan suasana politik kekal kondusif agar tidak menjejaskan usaha pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya dalam keadaan semasa yang penuh cabaran," ujarnya dalam kenyataan itu.
Tambah beliau, pihaknya berpandangan bahawa pendirian UMNO di peringkat nasional mahupun di Negeri Sembilan ketika ini dilihat tidak konsisten dan berpotensi mengelirukan rakyat.
"Pendekatan yang diambil seolah-olah lebih mengutamakan kepentingan parti berbanding kepentingan rakyat secara keseluruhan. Sehubungan itu, kami menegaskan bahawa sebarang perubahan besar dalam landskap politik negeri wajar dikembalikan kepada mandat rakyat melalui pilihan raya umum atau pilihan raya negeri yang akan datang," jelasnya.
Pada 2 Mei, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, menegaskan pendirian 14 ADUN BN untuk menarik balik sokongan terhadap Aminuddin adalah muktamad dan tidak akan berubah.
Namun, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata sebarang masalah atau pertikaian membabitkan BN dan Pakatan Harapan (PH) perlu diselesaikan melalui meja rundingan berdasarkan semangat kerjasama yang dipersetujui kedua-dua pihak.