Kemelut Perikatan Nasional: Apa yang berlaku?

Rentetan beberapa peristiwa 'panas' yang berlaku kebelakangan ini, beberapa pucuk pimpinan Bersatu melepaskan jawatan masing-masing dalam gabungan itu. - Bernama
KUALA LUMPUR: Ketegangan dalam Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin meruncing apabila beberapa pimpinan utama Bersatu meletakkan jawatan.
Senario politik ini dihangatkan dengan kemelut politik di Perlis selepas lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menandatangani akuan berkanun (SD) mengisytiharkan untuk menarik sokongan, sekali gus menjejaskan keyakinan terhadap kepimpinan Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar pada ketika itu.
Bersatu dilaporkan telah mengemukakan tiga nama calon Menteri Besar iaitu ADUN Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah; Megat Hashirat Hassan (Pauh); dan Izizam Ibrahim (Titi Tinggi).
Situasi bertambah 'panas' apabila beberapa pemimpin Pas kemudian mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah memberi isyarat bahawa hubungan parti itu dengan Bersatu di dalam PN sedang goyah.
Tidak lama selepas itu, Mohd Shukri yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang mengesahkan telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar negeri itu secara sukarela.
Keputusan itu kemudian menyaksikan Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar Perlis ke-12.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu mengangkat sumpah jawatan yang berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Bilik Hijau, Istana Arau pada Ahad (28 Disember).
Rentetan kesemua peristiwa ini, beberapa pucuk pimpinan Bersatu melepaskan jawatan masing-masing dalam gabungan itu:
- Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional berkuat kuasa 1 Januari 2026.
- ADUN Bukit Kepong, Sahruddin Jamal menyusul dengan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN Johor.
- Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kemudian mengumumkan pengundurannya sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor.
- Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN Perak selepas perkembangan itu.
- Mohamad Hanifah Abu Baker turut mengundur diri daripada jawatan Pengerusi PN Negeri Sembilan.
- ADUN Taman Medan, Dr Afif Bahardin juga mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha PN Selangor berkuat kuasa tarikh sama dengan Mohamed Azmin.
Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan berasingan pula memaklumkan Pas menawarkan kesediaan untuk menerajui PN bagi memperkasakan organisasi dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU).
Dalam pada itu, bercakap kepada Astro AWANI, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya, Dr Mohamad Tawfik Yaakub berkata, situasi politik dalaman yang melanda PN ketika ini dilihat memberi kelebihan kepada UMNO dan Kerajaan Perpaduan, tanpa perlu mereka mencari musuh baharu dalam landskap politik negara.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


