KUALA LUMPUR: Hubungan Pas dan Bersatu kini bagai destar habis, kopiah luluh, selepas beberapa siri kenyataan daripada kedua-dua pihak yang melebarkan lagi jurang perseteruan dua parti utama Perikatan Nasional (PN) itu.
Pada Selesa, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan penyertaan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan. Pada masa yang sama, beliau menyuarakan kritikan terhadap tindakan Pas selaku peneraju PN ketika ini.
Pada Rabu, Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar melalui satu kenyataan memaklumkan rombakan pimpinan PN, yang antara lain mengugurkan Datuk Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali daripada jawatan utama gabungan itu.
Dalam senario ini, Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Mohammad Tawfik Yaakub membangkitkan persoalan mengenai kekecewaan orang Melayu melihat perpecahan politik dalam kalangan parti politik Melayu.
“Orang Melayu akan rasa masa melihat perkembangan politik Melayu yang telah berpecah kepada lebih tujuh parti. Adakah tidak ada rasa sedih dan kecewa apabila lihat pergaduhan yang tidak berkesudahan.
“Bagi saya perlu ketepikan sementara waktu tuduhan, perbalahan dan kekecewaan dalam parti. Lihat kekecewaan lebih besar dalam kalangan orang Melayu. Kita bimbang undi yang sebelum ini pergi kepada kalian (PN; Pas dan Bersatu) berubah dalam Pilihan Raya Umum ke-16; kepada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), jangan kecewa selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru pada Khamis.
Kemelut PN: Tidakkah BERSATU-PAS sedih lihat perpecahan politik Melayu?
Sebagai reaksi kepada kenyataan itu, Pengarah Pilihan Raya Pemuda Pas Malaysia, Tengku Muhammad Fakhruddin dalam temu bual sama berkata, tindakan menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu merupakan suatu keperluan dan keputusan yang telah diberi pertimbangan sewajarnya.
“Kegagalan pembangkang ketika ini adalah kerana suara yang tidak kuat. Kita lihat ini semua. Kita lihat tidak ada cara lain melainkan mengkaji semula gabungan politik ini.
“Apabila tindakan Bersatu buang figura besar yang kita kira boleh menarik sokongan dan mencipta gelombang dalam kalangan orang Melayu.
“Pada masa yang sama, (PN pimpinan Muhyiddin) cuba untuk ikat kita dalam keadaan yang keras sehingga kita terlalu terikat untuk buat gerak kerja politik,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura itu.
Namun, nada Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid sedikit berbeza.
Beliau menyatakan bahawa Bersatu masih terbuka untuk terus menjalinkan kerjasama dengan Pas dalam kerangka PN.
“Sehingga sekarang, saya ingin beri komitmen, Bersatu tetap ingin teruskan kerjasama dengan Pas, kukuhkan PN dengan bantuan kawan-kawan lain...
“Sebab itu wujudnya Ikatan Prihatin Rakyat (IPR). Pada pendapat peribadi saya, sekiranya PAS tidak mahu kehilangan kumpulan Reset ini kerana kononnya Bersatu telah keluarkan kumpulan Reset ini daripada parti, maka Pas perlu umumkan kehendak untuk bekerjasama dengan Reset.
“Jangan pula umum untuk hentikan kerjasama dengan Bersatu kerana kalau begitu tambah satu, tolak satu, jumlah kekal sama. Kalau kita hendak kembangkan gabungan maka cari jalan untuk pastikan semua orang boleh wujud bersama dalam satu pasukan,” jelasnya.
Tambah Harris, sekiranya ada ruang rundingan yang membuka kerjasama dengan gerakan yang diketuai Datuk Seri Hamzah Zainuddin, beliau berkata kerjasama itu perlu bermula dengan Ahli-Ahli Parlimen yang bersama Hamzah mengembalikan kerusi parlimen yang disandang kepada Bersatu.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu dalam kenyataan sama pada Rabu turut mengumumkan, satu mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh organisasi PN.
Tumpuan kini terarah kepada kehadiran Bersatu dalam mesyuarat tersebut memandangkan Muhyiddin dalam sidang media pada Selesa menggesa agar Pengerusi PN memanggil mesyuarat untuk memuktamadkan kedudukan kedua-dua parti dalam gabungan berkenaan serta ketetapan mengenai perjalanan kempen PRN yang akan berlangsung.
Dialog Tiga Penjuru: Berkuasakah Blok Pembangkang ?