PORT DICKSON: Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO hairan dengan sikap ulama Pas yang hanya berdiam, ‘takut’ untuk menegur seorang wanita warga emas yang percaya semua penyokong UMNO adalah kafir.

Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii turut mempersoalkan adakah mereka tiada rasa tanggungjawab untuk menjernihkan dan membersihkan hujah sedemikian.

Tegas beliau, pengundi tidak seharusnya dimomokkan dengan agama apatah lagi dengan sentimen kalau tidak mengundi Pas, mereka akan menjadi kafir.

“Saya minta kepada ulama-ulama Pas yang betul-betul belajar agama, berpegang kepada kitab, al-Quran dan hadis sebagai bimbingan…sepatutnya mereka tampil ke hadapan.

“Mereka perlu memberi hujah bahawa apa difikirkan oleh makcik itu atau apa yang ditarbiah Haji Hadi (Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang) selama ini adalah salah dan perlu diperbetulkan.

“Dan ini adalah perkara asas akidah yang sepatutnya kita perbetulkan bersama. Jadi saya harap mereka ini lebih berani ke hadapan," kata Mohd Razlan.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap klip video yang tular di baru-baru ini menunjukkan seorang wanita dipercayai ahli UMNO mendekati seorang wanita warga emas untuk meraih undinya bagi calon Barisan Nasional (BN).

Warga emas itu kemudian berkata, dia tidak akan mengundi parti itu kerana percaya semua yang menyokong UMNO adalah kafir.

Dalam pada itu, ketika ditanya peluang Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), beliau menyatakan keyakinan untuk gabungan BN dan Pakatan Harapan (PH) menawan semua negeri.

“Saya sebenarnya optimis kita akan kekalkan tiga negeri dan tambah lagi tiga. Kekal tiga, tambah tiga.

“Lihat di Kelantan, Tan Sri Annuar Musa kata ramai-ramai akan pindah (keluar UMNO) tapi yang pindah itu hanya kaum keluarga dia.

“Ada juga yang sudah lama pindah tapi dimasukkan namanya, kononnya ada momentum sokongan kepada beliau tapi sebenarnya jumlahnya ama sedikit.

“Sikitlah kalau nak dibandingkan ahli Bersatu di Terengganu yang keluar, hampir 600 orang,” ujarnya.