PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi tempoh tujuh hari kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menarik balik kenyataannya yang didakwa terdapat unsur fitnah.

Dr Mahathir berkata, notis tuntutan yang dibuat semalam menuntut Anwar menarik balik kenyataan itu dan sekiranya tidak berbuat demikian, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya.

"Saya beri masa tujuh hari untuk Anwar tarik balik dan lakukan beberapa perkara untuk menunjukkan bahawa dia tidak percaya kepada apa yang disebutkannya.

"Kalau dalam tujuh hari dia tak jawab balik, maka saya bebas untuk ambil tindakan-tindakan lain," jelas Dr Mahathir pada sidang medianya di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Menurut beliau, kenyataan fitnah itu memberi kesan buruk kepadanya, seolah-olah memberi gambaran beliau melakukan banyak kerosakan ketika pentadbirannya.

Kenyataan itu, jelas beliau, tidak patut dibuat oleh seorang perdana menteri (PM) yang mempunyai tanggungjawab untuk tidak membuat tuduhan tanpa bukti yang kukuh.

"Ini memberi gambaran buruk terhadap diri saya. Ia merupakan fitnah melainkan dia dapat menunjukkan bukti bahawa saya ada berbilion ringgit dan melarikan duit ke luar negara dan saya tidak bayar cukai.

"Sekarang dia adalah PM. Seorang PM mempunyai tanggungjawab, tidak boleh buat tuduhan dengan begitu saja tanpa bukti yang jelas.

"Sebab itu, hari ini saya buat keputusan untuk tuntut supaya dia tarik balik fitnah yang dilempar terhadap diri saya," kata Dr Mahathir.

Pada 18 Mac lalu, Anwar dilapor menyelar sikap seorang bekas pemimpin yang dilihat mengeluh dengan nasib orang Melayu dan mendakwa mereka tertindas di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Tidak menamakan secara khusus siapa individu terbabit, Anwar hanya memberi gambaran dengan angka '22 tahun dan 22 bulan’ yang merujuk kepada tempoh pentadbiran.

Kenyataan Anwar yang juga Presiden PKR itu turut menyentuh mengenai individu berkenaan membolot harta bagi keluarga dan anak-anaknya.

Sementara itu, Dr Mahathir juga yakin kenyataan itu merujuk kepada dirinya apabila ia mendapat liputan luas pihak media.