ALOR SETAR: Pas tetap dengan pendirian untuk tidak sesekali menyertai 'khemah besar' politik yang dipelopori Pakatan Harapan (PH) meskipun telah berkali-kali ditawarkan untuk menyertainya.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, menegaskan bahawa pendirian itu sudah dibincangkan secara bersama antara parti-parti didalam Perikatan Nasional (PN).

Tambah beliau, strategi untuk bekerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga tidak akan diulangi, memandangkan Pas telah merasainya selama 20 tahun termasuk ketika membentuk Pakatan Rakyat (PR).

"PN bincang (sebelum ini) untuk benda itu (bekerjasama melalui khemah besar), Pas telah buat keputusan untuk tidak menyertai, Pas menolak rancangan itu, PN ini kalau Pas tidak turut serta, dia pun tidak cukup, tidak boleh pergi, pergi tak cukup kerusi nak buat apa, baik tak payah pergi.

"Pas tolak rancangan untuk menyertai Pakatan Baru, melibatkan PKR, kata orang tanpa DAP, tanpa DAP atau bersama DAP tidak mungkin (Pas sertai), kita sudah ada pengalaman 20 tahun bersama PKR dalam Pakatan Rakyat, dan semua strategi tidak akan berulang lagi, (apa sahaja) benda yang kita pernah buat dengan PKR," katanya.

Sanusi berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Rabu.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyatakan bahawa kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dengan mana-mana parti dalam kerajaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) belum dimuktamadkan. 

Menurutnya, sebarang perbincangan dengan mana-mana parti termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang diteliti oleh pucuk pimpinan PH.

Menurut Ahli Parlimen Pulai itu, perbincangan dengan parti lain termasuk Bersatu tidak boleh dihalang kerana ia sebahagian daripada polisi dalam PH.