JOHOR BAHRU: Keputusan Pemilihan UMNO bagi peringkat bahagian, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan juga naib presiden dijangka diketahui lewat malam ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tempoh keputusan diperolehi bergantung kepada jumlah perwakilan di bahagian-bahagian di seluruh negara.

Katanya pemilihan kali ini melibatkan 189 bahagian, tidak termasuk Bahagian Tanah Merah dan Kota Kinabalu yang digantung atas sebab tertentu.

"Kita harap tengah malam ini ada gambarannya kerana ia melibatkan begitu ramai perwakilan di seluruh negara... 189 bahagian.

"Ada dua bahagian tak terlibat kerana digantung atas masalah tertantu iaitu Tanah Merah, Kelantan dan Kota Kinabalu, Sabah... yang lain hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai mengundi bagi UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini pada Sabtu.

Ahmad menawarkan diri bertanding sebagai Ketua Bahagian UMNO Pontian selepas menyandang jawatan timbalan sejak 2008.

Jawatan itu sebelum ini dipegang bekas Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad selama hampir 22 tahun.

Selain menjadi calon bagi ketua bahagian, Ahmad turut bertanding sebagai MKT UMNO. Hasni pula bertanding bagi jawatan Naib Presiden UMNO.