KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar diberikan ruang untuk meneruskan pentadbiran sehingga tamat penggal bagi memastikan perancangan, reformasi dan pelbagai program membantu rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar.
Pensyarah Kanan Program Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil berkata, tempoh sehingga Disember 2027 atau kira-kira 18 bulan lagi sebelum tamat penggal boleh dimanfaatkan kerajaan untuk menyempurnakan pelbagai agenda yang telah dirancang.
Menurut beliau, kesinambungan pentadbiran juga penting bagi memastikan usaha reformasi serta program yang memberi manfaat kepada rakyat seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), subsidi bersasar petrol dan diesel serta Program Rahmah dapat diteruskan.
"Cadangan supaya kerajaan ini diberikan tempoh sehingga Disember 2027 atau kurang dalam 18 bulan lagi untuk tempoh tamat penggal merupakan satu pandangan yang boleh diterima.
"Tujuannya supaya segala perancangan dan program yang telah dirancang oleh kerajaan sekarang dapat berjalan dengan lancar untuk tempoh kira-kira 18 bulan lagi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, reformasi yang dibawa Anwar perlu dilaksanakan secara berhati-hati kerana Kerajaan MADANI bukan kerajaan yang hanya mewakili satu parti, sebaliknya gabungan 19 parti termasuk parti dari Sarawak.
Jelasnya, keadaan itu menyebabkan setiap usaha reformasi perlu mengambil kira kepentingan parti gabungan serta faktor berkaitan sistem pentadbiran, kos, tempoh pelaksanaan dan sumber manusia.
“Kalau nak melakukan reformasi secara keseluruhan, mungkin ia tidak dapat dilakukan dalam tempoh lima, 10 atau 15 tahun kerana banyak perkara perlu dipertimbangkan.
“Reformasi itu harus berhati-hati dan memilih mana-mana perkara yang difikirkan paling diperlukan,” katanya.
Mengulas kemungkinan kerajaan kehilangan majoriti, Jamaie berkata, kedudukan itu boleh memberi kesan besar terhadap kestabilan pentadbiran, terutama sekiranya parti utama dalam Pakatan Harapan (PH) menarik sokongan.
Beliau berkata, DAP yang mempunyai kira-kira 40 kerusi Parlimen menjadi antara komponen penting dalam menentukan kekuatan majoriti kerajaan ketika ini.
“Kalau DAP menarik sokongan, maknanya kerajaan itu boleh hilang majoriti yang diperlukan. Kalau setakat ada majoriti kecil, kestabilan itu juga tidak dapat diwujudkan.
"Memang dengan 112 kerusi masih boleh membentuk kerajaan, tetapi majoriti yang kecil akan menyebabkan banyak kesan terhadap pentadbiran kerajaan," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan, kerajaan yang gagal menunaikan janji manifesto atau melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat sememangnya boleh ditukar melalui proses demokrasi.
Bagaimanapun, katanya, pengundi perlu membuat penilaian secara matang sebelum menentukan kerajaan yang wajar dipilih.
Menurutnya, demokrasi tidak seharusnya diterjemahkan semata-mata sebagai hak untuk menukar kerajaan, sebaliknya perlu disertai pertimbangan terhadap prestasi sesebuah kerajaan.
“Kalau kerajaan itu korup, mengenakan pelbagai cukai kepada rakyat atau menggunakan kuasa untuk kepentingan politik, kerajaan itu memang wajar ditukar.
"Tetapi kalau kerajaan itu berusaha untuk kebaikan rakyat, tidak rasuah dan cuba mengurangkan kos sara hidup melalui pelbagai program, saya tidak nampak kenapa ia perlu ditukar dengan satu rejim baharu yang kita tidak tahu bagaimana keadaannya," katanya.
Jamaie turut menyifatkan tahap kematangan politik di Malaysia masih perlu dipertingkatkan, terutama dalam menghadapi perkembangan politik dan penggunaan media sosial.
Katanya, isu fitnah, pembohongan, permainan sentimen kaum dan agama serta fakta yang diputarbelitkan boleh mengelirukan pengundi dalam membuat penilaian terhadap sesebuah kerajaan.
"Demokrasi memang memberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan, tetapi sebelum mengundi, kita mestilah matang dan menilai dengan baik pemerintah itu.
"Kalau kerajaan melakukan perkara yang betul, membawa peningkatan ekonomi, pembangunan dan berusaha mengurangkan kos hidup rakyat, kenapa demokrasi itu tetap digunakan untuk menukar mereka?" soalnya.