MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron memberi bayangan dua lagi ADUN akan mengambil langkah sama menyatakan hilang kepercayaan dengan kepimpinan kerajaan negeri sedia ada.

Tanpa mendedahkan nama-nama ADUN berkenaan, beliau berkata, perkara itu bagaimanapun masih diperingkat perbincangan dan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam akan diadakan dalam masa terdekat.

BACA: Kerajaan Melaka tumbang: Sokong PH, keahlian Idris Haron, Nor Azman dalam UMNO gugur - Ab Rauf

“Kita telah pun bersetuju mencadangkan dua wakil iaitu Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari dan saya sebagai wakil empat ADUN yang menarik sokongan ini untuk bertemu Tun Mohd Ali.

BACA: Kerajaan Melaka tumbang: TYT kuarantin, tiada kunjungan sehingga Khamis

“Pertemuan ini bagi menyampaikan hasrat dan pandangan bagaimana meneruskan kesinambungan penguusan dan pentadbiran kerajaan negeri.

““Kita dapat membayangkan akan ada sejumlah dua ADUN lagi yang akan bersama kita, ini masih diperingkat perbincangan dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di Banda Hilir, di sini hari ini.

Semalam, Idris bersma tiga lagi ADUN iaitu Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) menamatkan teka-teki krisis politik Melaka selepas mendakwa hilang kepercayaan dengan kepimpinan Sulaiman.

Situasi itu sekaligus menyaksikan kerajaan Melaka hilang majoriti, selepas hanya mempunyai bilangan 13 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dalam pada itu Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, beliau melihat tindakannya bersaa tiga lagi ADUN menyatakan hilang sokongan dan bekerjasama dengan PH sebagai suatu langkah harmoni.

“Saya melihat ini (langkah) harmoni dan role model kepada idea ‘Keluarga Malaysia’.

“Kami tidak rela kepincangan ini berterusan kerana mangsanya ialah rakyat Melaka sendiri,” katanya.