KUALA PILAH: Institusi diraja serta pemeliharaan adat istiadat Negeri Sembilan akan terus didukung oleh kerajaan negeri yang baharu, tegas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim.
Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh berkata menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Negeri Sembilan untuk memahami adat negeri serta mempertahankan Institusi Diraja yang menjadi teras sistem pemerintahan negeri.
“Saya rasa sebagai rakyat Negeri Sembilan, memang menjadi satu kewajipan kita memahami adat-adat Negeri Sembilan.
“Kedua, kita memuliakan dan mendukung institusi diraja yang ada di Negeri Sembilan. Tinggal lagi kita cuba cari jalan yang paling sesuai supaya dapat mengurangkan konflik dan sebagainya.
"Itulah sebahagian daripada tugasan kita,” katanya dalam sidang media selepas upacara angkat sumpah serta Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai komitmennya untuk terus mendukung institusi diraja.
Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir ketika bertitah pada upacara tersebut mengingatkan Menteri Besar dan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya sentiasa mematuhi serta menzahirkan taat setia kepada Institusi Diraja dalam melaksanakan amanah mentadbir negeri.