KUALA LUMPUR: Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menubuhkan kerajaan Persekutuan kerana kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) didapati akan membawa lebih banyak mudarat, kata pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid berkata, BN membuat analisis mengenai gabungan politik mana yang akan membawa paling kurang mudarat kepada BN dalam jangka panjang selepas selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Kami buat analisis, bukan sahaja sekarang tapi untuk jangka sederhana dan panjang. Mudarat mana yang kurang, yang boleh terus relevankan UMNO.

"Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO putuskan lebih banyak mudarat dengan PN.

"Mereka bertanding di kawasan sama yang kami bertanding, di kawasan Malay Belt, yang ada kelompok Melayu. Kita berperang di gelanggang yang sama," katanya dalam wawancara yang disiarkan secara langsung di saluran Youtube NRChannel pada Selasa.

Zahid menjelaskan, UMNO memilih untuk berpihak kepada PH kerana ia akan menjamin kelangsungan politik parti itu dan BN.

"Bersama PH, (UMNO ada) potensi besar untuk menang semula kawasan yang dulu (dapat) kurang undi. Kita boleh gali semula potensinya," katanya.

Tanpa menyebut sebarang nama secara khusus, Zahid mendedahkan ada dua ahli MKT yang tidak setuju kerjasama dengan PH.

"Tak lebih dua orang (anggota MKT) yang tak setuju. Walaupun ada perbezaan pandangan, semua perlu akur apabila MKT sudah mencapai keputusan muktamad.

"Adakah ini tidak demokratik? Adakah saya guna kuasa autokratik, ataupun saya seorang diktator yang buat keputusan sendiri? Saya jaga kepentingan parti," katanya.

Zahid sebelum ini dilapor berdepan bantahan dalam BN kerana didakwa mengambil keputusan menyokong Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bertentangan dengan keputusan gabungan itu.

Pemimpin MCA dan MIC juga sebelum ini menggesa Zahid meletakkan jawatan sebagai pengerusi BN.

Mengulas lanjut, Zahid juga berkata beliau telah memaafkan pemimpin terbabit dan faham mereka berdepan tekanan dalaman yang hebat.

Timbalan Perdana Menteri itu juga berkata, beliau telah memaafkan 10 Ahli Parlimen BN yang dikatakan menyokong Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Perdana Menteri ke-10.

"Jangan dikenang peristiwa yang sudah berlalu. Mari kita move on.

"Bentuk gagasan baharu, perkukuhkan parti, siap siagakan parti untuk hadapi landskap politik baharu. Ketepikan perbezaan antara kita," katanya.