KUALA LUMPUR: Pemimpin parti Bersama, Nik Nazmi Nik Ahmad seharusnya berundur sepenuhnya daripada dunia politik setelah namanya dicemar dengan kes khalwat dan ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Naib Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Shahrizan Ramli berkata, pendekatan yang diambil oleh parti Bersama untuk merehatkan beliau selama tiga bulan memberi gambaran yang salah kepada pemimpin masa depan terutama anak-anak muda.
Tegasnya, ramai ahli politik antarabangsa mengambil tanggungjawab jika terbabit dengan kes-kes moral dan mereka sama ada meletakkan jawatan, bersara atau mengundurkan diri daripada kerja-kerja kepartian demi menjaga maruah.
"Tetapi, dalam kes Nik Nazmi ini, beliau hanya direhatkan dan memberi gambaran seolah-oleh dia melakukan kesalahan kecil dan selepas tiga bulan, beliau kembali berpolitik seperti tiada apa-apa yang buruk perlu dilakukannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Presiden Bersama, Ahmad Syukri Che Abdul Razab sebelum ini berkata, Nik Nazmi Nik Ahmad, direhatkan daripada semua aktiviti rasmi parti Bersama selama tiga bulan, berkuat kuasa 20 Oktober ini hingga 19 Januari 2027.
Syukri berkata, keputusan itu dibuat susulan pengakuan Nik Nazmi berhubung pembabitannya dalam satu kes yang mendapat perhatian umum baru-baru ini.
Bagaimanapun, kenyataan Bersama tidak memperincikan sebarang tindakan disiplin tambahan terhadap Nik Nazmi selain keputusan merehatkannya daripada aktiviti rasmi parti sepanjang tempoh berkenaan.
Mengulas lanjut, Shahrizan berkata, walaupun Nik Nazmi adalah sahabat baik Datuk Seri Rafizi Ramli, ia sepatutnya tidak mendapat apa-apa keistimewaan setelah mempunyai isu moral yang memberi persepsi negatif kepada parti itu sendiri.
Nik Nazmi merupakan antara individu yang terlibat dalam perjuangan Bersama sejak parti itu dilancarkan semula pada Mei lalu, dengan keputusan terbaharu itu menyaksikan beliau tidak menyertai sebarang aktiviti rasmi parti sehingga 19 Januari depan.