Skip to main content

Politik

Kesepakatan umat perlu realistik, bukan puaskan nafsu politik - Syed Ali

Syed Ali Alhabshee
Syed Ali berkata rakyat perlu menolak mana-mana pihak yang menentang gagasan penyatuan umat sekiranya ia didorong oleh agenda dendam politik. - FB Syed Ali Alhabshee
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penyatuan umat perlu dibina secara realistik berteraskan tanggungjawab dan keikhlasan dalam kalangan parti-parti politik Melayu, bukan dipandu oleh kepentingan peribadi atau agenda politik semata-mata.

Pandangan tersebut disuarakan oleh bekas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee dalam kemas kini di laman Facebook pada Rabu.

Beliau berkata usaha ke arah kesepakatan umat tidak seharusnya dibelenggu oleh kepentingan kumpulan tertentu atau sikap terlalu jumud terhadap ideologi kepartian, sebaliknya perlu berpaksikan kepada kepentingan agama serta negara bangsa dalam kerangka masyarakat majmuk.

"Terasnya perlu bersandarkan kepada kepentingan agama dan negara bangsa dengan mengambil kira realiti masyarakat majmuk yang membentuk kemakmuran negara," katanya.

Mengulas lanjut, Syed Ali berkata rakyat perlu menolak mana-mana pihak yang menentang gagasan penyatuan umat sekiranya ia didorong oleh agenda dendam politik.

Pada masa yang sama, ujarnya rakyat juga perlu menolak pihak yang memanipulasi agama dan sentimen perkauman untuk meraih sokongan.

“Penyatuan umat hanya boleh dibentuk menerusi rasa tanggungjawab dan semangat keikhlasan dalam kalangan parti-parti politik Melayu,” tambahnya.

Syed Ali berkata pemimpin politik yang mengutamakan kesatuan Melayu juga tidak seharusnya terperangkap dengan muslihat pihak tertentu yang tidak selesa dengan usaha penyatuan umat.

Beliau menegaskan bahawa agenda penyatuan umat perlu dilaksanakan secara jelas, telus dan bertanggungjawab demi kepentingan negara serta keharmonian masyarakat, bukannya untuk memenuhi kepentingan politik mana-mana pihak.
 
 

Must Watch Video

Advertisement