KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyokong pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang dilihat mampu menstabilkan negara.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Stephen Rundi Utom berkata, ia penting bagi memastikan Malaysia kekal stabil walaupun berlaku pergelutan politik di peringkat Persekutuan.

"Kita terus menyokong kerajaan (sedia ada) bagi kestabilan negara. Itu merupakan agenda utama kita.

"Biar apapun yang terjadi kita kena pastikan negara dan kerajaan Malaysia terus menjadi antara yang paling stabil di rantau Asia Tenggara.

“Jika apa yang Perdana Menteri lakukan adalah untuk kebaikan rakyat dan negara, kita akan sokong,” katanya semasa ditemui pemberita selepas melawat PPVIN Mydin Vista Tunku, Kuching pada Khamis.

BACA: Pelantikan Ismail Sabri, Hishammuddin diharap dapat kembalikan tumpuan kepada isu penting - GPS

BACA: Ismail Sabri dilantik TPM, Hishammuddin Menteri Kanan Luar Negeri - PMO

Beliau berkata demikian bagi mengulas pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai menteri kanan.

Pada Rabu, Pejabat Perdana Menteri telah mengumumkan pelantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin berkuat kuasa serta-merta.

Terdahulu, Mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam Rabu memutuskan parti itu menarik balik sokongan kepada kepemimpinan Muhyiddin berkuat kuasa serta-merta.

Selaras keputusan itu, UMNO menuntut supaya Muhyiddin meletak jawatan untuk memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.

MKT UMNO turut menegaskan sebarang usaha untuk mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri akan ditolak sepenuhnya oleh parti itu.

BACA: UMNO desak Muhyiddin berundur, namun tidak sokong Anwar jadi PM baharu

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid, berkata penolakan itu termasuklah kerjasama parti itu dengan DAP.

GPS sebelum ini memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tahun lalu demi kestabilan negara tanpa mengorbankan kepentingan Sarawak.

GPS yang terdiri daripada PBB, SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan PDP mempunyai 18 Ahli Parlimen.


[TERKINI] Lantikan baharu Timbalan PM & Menteri Kanan Luar Negeri