KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali memilih untuk memohon berhenti dari Pas bagi menegur kepimpinan parti dari apa yang disifatkan tidak menguruskan parti dengan betul.

Khairuddin menjelaskan, beliau telah berusaha untuk menegur kepimpinan Pas ketika memegang jawatan dalam parti sebelum ini.

Namun jelas beliau, setelah disingkirkan dari jawatan yang disandang, beliau perlu mengambil langkah yang berbeza untuk menegur kepimpinan.

"Yang penting sebagai ahli parti dan pemimpin parti saya telah melaksanakan tanggungjawab saya sebagai pemimpin parti mengikut saluran yang ada.

"Kemuncaknya saya terkeluar dari barisan kepimpinan, ia satu cerita yang panjang. Maka telah berakhir tugas saya sebagai pimpinan parti yang mengur secara dalaman.

"Tetapi menegur itu mesti ada tujuan dan matlamat dan matlamat itu kalau tidak dicapai perlu ada cara untuk mencapainya.

"Maka saya perlu ambil satu kaedah, kaedahnya bagaimana? Iaitu berada di luar parti sementara waktu untuk menyedarkan dan memberi pandangan kepada pimpinan parti untuk kembali menguruskan parti dengan cara yang betul," katanya dalam satu temubual yang disiarkan di Bernama TV.

Bagi Khairuddin, kesilapan menguruskan parti akan menyebabkan satu kesan besar kepada Pas kerana ia melibatkan masa depan parti tersebut.

BACA: Khairuddin Aman Razali umum keluar Pas

"Oleh kerana ini perkara besar melibatkan masa depan parti, melibatkan halatuju parti, maka bagi saya, saya perlu beritjihad untuk mengambil satu tindakan sebagai seorang ahli parti yang sayang partinya.

"Saya sayang Pas. Tersangat sayang Pas. Pas sebahagian dari diri saya," katanya lagi.

Dalam temubual itu juga Khairuddin menjelaskan beliau tidak keluar parti sebaliknya hanya memohon berhenti dari menjadi ahli Pas buat sementara waktu.