SEMPENA sambutan Hari Malaysia kali ini, selain mengimbas sejarah negara dan perjalanan masa depan kita, ada baiknya jika kita meluangkan sedikit masa untuk turut menganalisis kedudukan semasa masyarakat. Sekuat manakah ikatan kita sebagai sebuah komuniti dan sejauh mana impak politik ke atas keharmonian kaum yang berbilang?
Semasa ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO pada 12 September yang lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang merangkap Naib Presiden UMNO mengangkat persoalan ini di hadapan perwakilan parti yang membanjiri Dewan Merdeka WTC. Beliau berhujah yang ancaman keselamatan negara hari ini sudah bersifat hibrid dan perang kognitif merupakan strategi terancang untuk mempengaruhi pemikiran, identiti dan cara manusia membuat keputusan. Strategi ini bukan sahaja membentuk cara seseorang menilai maklumat. Lebih membimbangkan, maklumat itu sendiri akan terlebih dahulu dimanipulasikan dengan cara yang canggih.
Menurut Khaled, bahaya perang kognitif terletak pada kesan akhirnya. Serangan seumpama ini mampu melunturkan identiti kita sebagai sebuah bangsa sehingga perbezaan agama atau kaum berkembang menjadi perbalahan yang serius sekali gus menjurus kepada kejatuhan ekonomi, ketidakstabilan politik serta ketidakharmonian sosial. Kemuncaknya, kedaulatan negara boleh tergadai.
Penjelasan tersebut selari dengan Allied Command Transformation NATO dalam penerbitan bertarikh 3 Julai 2024 yang menggambarkan perang kognitif sebagai peperangan yang tidak dilancarkan dengan bom dan peluru berpandu, sebaliknya dengan pembohongan dan manipulasi. Konsep Perang Kognitif yang sedang dibangunkan oleh pakatan ketenteraan tersebut menerima sumbangan langsung daripada lebih 20 negara anggota. Ia adalah satu simbol komitmen yang serius ekoran kesedaran bahawa perang kognitif kini setaraf dengan domain peperangan yang lain. Ia sudah mempunyai doktrin dan perancangan operasinya yang tersendiri.
Atas kesedaran itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi tumpuan kepada pembinaan ketahanan rakyat atau the people's resilience sebagai salah satu instrumen pencegahan yang penting atau credible deterrence bagi membantu negara berhadapan dengan ancaman hibrid seperti peperangan kognitif.
Pengaruh Ahli Politik dalam Ruang Awam
Persoalannya, jika medan pertempuran perang kognitif ialah minda dan emosi rakyat, siapakah yang harus menjadi benteng utama? Siapa pula pihak yang berdiri paling hampir dengan masyarakat awam dalam spektrum tersebut?
Secara umumnya, serangan kognitif berlaku dan bergerak melalui saluran yang sudah sedia terbuka kepada masyarakat seperti media dan media sosial. Laporan Digital 2026 terbitan DataReportal mencatatkan 30.7 juta identiti pengguna media sosial di Malaysia, bersamaan 85 peratus daripada jumlah penduduk, dengan kadar penembusan Internet mencecah 98 peratus. Dalam ruang komunikasi dan platform digital yang luas dan terbuka seperti ini, Key Opinion Leaders (KOL) atau figura awam sangat memberi kesan dan mempengaruhi cara masyarakat memahami sesuatu isu. Malah, mereka mempunyai keupayaan dan daya tarikan dalam mencorakkan tindak balas masyarakat.
Keadaan ini secara tidak langsung meletakkan ahli politik atau pemimpin masyarakat sebagai antara kelompok penting dalam masyarakat. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan politikus menjadi antara pihak yang penting. Pertama, ahli politik selalunya adalah kumpulan yang sentiasa berhadapan dan berurusan dengan masyarakat setiap hari. Mereka mempunyai akses dan ruang masa untuk bertemu dan berkomunikasi dengan masyarakat secara langsung. Kedua, ahli politik selalunya akan mempunyai akses dan tarikan media yang menarik. Setiap gerak, pendirian serta pandangan mereka akan dilaporkan oleh media dan media sosial. Perkara ini menjadikan ahli politik sebagai pihak yang sentiasa diperhatikan dan diikuti perkembangannya.
Kurang tepat jika ahli politik dianggap sekadar mencerminkan pandangan rakyat. Kajian David Broockman dan Daniel Butler menunjukkan bahawa pengundi cenderung menyesuaikan pendirian mereka dengan wakil politik yang mereka ikuti, walaupun hujah yang diberikan sangat minimum. Gabriel Lenz pula dalam Follow the Leader? How Voters Respond to Politicians’ Policies and Performance (University of Chicago Press, 2012) menunjukkan bahawa pengundi sering menyesuaikan pendirian dasar mereka dengan pemimpin yang sudah mereka sokong. Ini menunjukkan bahawa pengaruh politik turut bergerak dari atas ke bawah. Pemimpin bukan sekadar membawa suara masyarakat, tetapi turut mempunyai keupayaan membentuk cara masyarakat memahami sesuatu isu.
Tanggungjawab Moral Ahli Politik
Maka ahli politik mesti memanfaatkan akses serta kelebihan pengaruh yang mereka miliki itu sebagai satu bentuk amanah. Ia mesti dioptimumkan untuk bersama-sama membantu memperkukuh keselamatan negara, sama beratnya dengan tugas dan kesungguhan untuk memenangi pilihan raya. Dalam hal ini, Menteri Pertahanan menegaskan yang amalan politik matang dan rasional, tidak bersifat emosional dan tidak ekstrem boleh menjadi salah satu sumbangan penting ahli dan parti politik kepada pembangunan ketahanan rakyat.
Sememangnya ini adalah satu seruan yang baik dan bertanggungjawab. Namun, jika diteliti, seruan ini sebenarnya jauh menjangkau soal kesopanan berpolitik. Ia adalah soal menutup saluran yang boleh dieksploitasi musuh atau pihak luar akibat perpecahan yang berpunca daripada amalan politik yang tidak matang.
Walaubagaimanapun, dalam iklim politik semasa yang menyaksikan rata-rata ahli dan parti politik bertindak dengan sangat emosional, anti akal dan ekstrem, seruan ini bukan sahaja kelihatan sangat berat. Malah, ia menuntut iltizam dan kesungguhan yang jitu dalam kalangan orang politik. Mereka harus disedarkan akan impak besar yang akan menimpa masyarakat apabila mereka terus menerus memilih untuk berpolitik dengan cara yang tidak matang. Anasir yang berniat memporak-perandakan masyarakat akan menyusup masuk dengan sangat mudah dan pantas.
Terdapat banyak sebab yang menjadikan seruan mengamalkan politik matang agak sukar. Pertama, sudah pastilah mentaliti atau kerangka pemikiran yang masih terkurung dengan fahaman sempit bahawa politik adalah instrumen yang menghalalkan segala-galanya. Bagi kebanyakan ahli dan parti politik, destinasi akhir adalah kuasa. Perkara ini menyebabkan ramai yang meletakkan kemaslahatan dan kepentingan masyarakat dan negara di tangga kedua atau ketiga.
Kedua, ganjaran politik harian banyak bergerak ke arah yang bertentangan dan destruktif. Kandungan yang memecahbelahkan memberikan pulangan segera dalam bentuk populariti, menjadi tular dan mendapat sokongan berpuak. Pada sesetengah ahli dan parti politik, perkara ini menjadikan mereka kelihatan menyerlah dan relevan. Dalam keadaan tertentu, ramai yang tidak kisah untuk menangguk di air keruh dan cuba muncul sebagai hero.
Kandungan yang menenangkan, bermaklumat dan mengambil jalan sederhana pula jarang sekali dihargai dan menjadi tular. Dalam konteks ini, masyarakat juga harus diasuh agar bijak menilai dan tidak cepat terikut-ikut dengan rentak orang politik dan perkara yang tular. Selagi corak ini berterusan dan tidak diubah, seruan membina ketahanan rakyat melalui amalan politik matang oleh ahli dan parti politik akan sukar diterjemahkan menjadi budaya yang matan.
Namun, ini sama sekali tidak bermakna seruan Menteri Pertahanan tersebut adalah tidak praktikal dan tidak harus diusahakan. MINDEF, ATM dan Menteri Pertahanan berada dalam landasan yang betul apabila meletakkan ketahanan rakyat sebagai sebahagian daripada benteng pertahanan negara. Seruan Menteri Pertahanan agar politik matang menjadi amalan semua pihak adalah sesuatu yang selari dan sangat bertepatan dengan sifat ancaman hibrid dan peperangan kognitif yang sangat bertumpu kepada emosi dan pemikiran masyarakat.
Maka, jalan keluarnya terletak pada ahli dan parti politik. Mereka mesti mula mendisiplinkan rumah sendiri. Jentera komunikasi parti wajar mempunyai garis panduan yang jelas tentang sempadan kandungan yang boleh diedarkan. Adalah tidak keterlaluan untuk rakyat menuntut agar ahli politik yang menyebarkan dakwaan palsu ditegur secara terbuka oleh kepimpinan parti mereka sendiri, dengan ukuran yang sama seperti teguran terhadap pihak lawan. Malah, tindakan yang tegas mesti mula diambil oleh parti politik ke atas ahli dan pemimpin mereka yang bertindak dengan cara yang memecahbelahkan masyarakat atau berpotensi menggugat ketahanan rakyat.
Ketahanan rakyat hanya akan terbina apabila masyarakat dicontoh dan dihidangkan dengan perilaku, amalan serta pemikiran yang matang, profesional dan intelektual. Dalam membantu berhadapan perang kognitif, ahli dan parti politik hanya mempunyai dua pilihan. Menjadi perisai kepada rakyat dan negara dengan memimpin pemikiran serta perilaku matang, atau menjadi peluru kepada musuh dengan terus menerus menjadi pemecah keharmonian. Tidak ada pilihan ketiga.
*Artikel ini ditulis oleh Mohd Daud Mat Din, Felo Kanan di Bait Al Amanah dan Edward S. Mason Fellow (2026), John F Kennedy School of Government, Harvard University. Beliau menyelidik dan menganalisis dasar-dasar awam, serta isu-isu berkaitan politik, demokrasi dan pertahanan.
**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.