Skip to main content

Politik

[KOLUMNIS] Peringkat terakhir kempen Pilihan Raya Negeri Melaka

Bendera parti-parti politik menghiasi jalan di sekitar Durian Tunggal menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka ke-16. --fotoBERNAMA
Bendera parti-parti politik menghiasi jalan di sekitar Durian Tunggal menjelang Pilihan Raya Negeri Melaka ke-16. --fotoBERNAMA
Advertisement

KURANG 48 jam lagi, kempen Pilihan Raya Negeri Melaka ke-16 bakal melabuhkan tirainya. Sejak hari penamaan calon pada 31 Okt 2026, 79 calon mewakili pelbagai parti bertanding mempunyai jadual aturan masing-masing untuk memancing undi di DUN yang ditandingi mereka.

Seramai 687,697 pengundi di Melaka kini mempunyai kuasa mutlak di tangan mereka untuk menentukan siapa calon pilihan untuk mewakili suara mereka. Semestinya calon itu perlulah meyakinkan dan senang didekati apabila menang nanti.
Rata-rata pengundi yang saya temui di Melaka, tidak mudah terpengaruh dengan kempen yang dicanangkan oleh calon dalam tempoh 14 hari yang diberikan. Mereka sebenarnya arif dalam menentukan 'mana satu pilihan bijak'. Itulah yang menjadi perhitungan pengundi di Melaka.

Norhidayu Mohamad, 36 tahun, seorang pemilik gerai makanan berkata, pemimpin yang menyalurkan bantuan segera mengikut kehendak pengundi menjadi pilihan.

Advertisement

"Kita tak nak pemimpin yang cakap kosong, lepas pilihan raya bila kita minta bantuan, susah nak dapat. Saya dah 16 tahun jadi penjaja, saya nak masalah saya selesai," katanya.

Bagi pengundi, Afiq Hamzani, 23 tahun, pula, beliau mahukan pemimpin yang berpandangan jauh. Ujar Afiq, pemimpin yang membawa kelainan seperti mewujudkan peluang pekerjaan dan mengisi masa anak-anak muda dengan aktiviti bermanfaat, semestinya menjadi pilihan tepat.

Advertisement

"Saya lihat ramai budak-budak di sini macam tak buat apa-apa bazirkan masa. Kalau ada pelan untuk aktiviti bermanfaat bagi mereka memang eloklah. Mungkin boleh tawarkan peluang pekerjaan sementara kepada pelajar lepasan SPM di sini supaya masa mereka tidak terbuang begitu sahaja. Tambahkan tempat riadah supaya anak-anak muda ini dapat aktif dalam aktiviti sukan."

Hempas pulas yakinkan pengundi

Bagi calon bertanding, minggu terakhir kempen lebih mencabar kerana setiap kumpulan pengundi di taman perumahan mahupun kawasan terpencil di sesuatu DUN itu mesti disantuni, sebabnya "every vote counts". Inilah lumrah dalam pilihan raya kecil PRK, pilihan raya negeri PRN mahupun pilihan raya umum (PRU).

Calon PH di Paya Rumput N13 Datuk Azman Abidin berkata kempen dirancang secara konsisten dan pendekatan mengikut segmen khususnya untuk pengundi muda adalah bersandarkan kesukaan mereka. Kaedah ini ujar beliau, jika diamalkan sekurang-kurangnya pengundi akan rasa selesa dengan calon.

"Pengundi muda sebenarnya tak berpihak kepada mana-mana pihak.  Cara untuk mendekati mereka ialah ikut segmen-segmen. Kita tengok apa yang mereka suka, aktiviti yang mereka suka. Cara ini kita boleh relate kepada mereka dan mereka pun senang dengan kita. Mereka juga selalu rujuk kita melalui media sosial untuk mengenali kita, maka calon pun kenalah aktif dalam media sosial. Apa pun perkara yang paling penting ialah pengundi di Paya Rumput, saya minta sangat-sangat keluar mengundi pada 14 Nov ini, kalau boleh datang awal kerana ini adalah tanggungjawab anda," kata Azman.

Jumlah pengundi berdaftar di DUN N13 Paya Rumput adalah 46,521 orang dengan 62 peratus adalah pengundi Melayu, Cina 28.9 peratus, India 6.1 peratus dan lain-lain 2.6 peratus.

N18 Ayer Molek, pengundi muda jadi sasaran

Di N18 Ayer Molek yang dianggap kerusi panas, pengundi muda menjadi pertaruhan kedua-dua calon bertanding. Sebanyak 52 peratus daripada 24,614 pengundi berusia antara 18 dan 39 tahun.

Calon BN-UMNO Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata minggu terakhir kempen perlu digunakan untuk mengingatkan pengundi manifesto yang dibawakan. Agenda seperti peluang pekerjaan, rumah mampu milik dan pembinaan pusat-pusat riadah yang menjadi intipati manifesto perlu diterangkan mengikut gaya dan kehendak orang muda.

"Jangan fikir mengenai peluang pekerjaan semata-mata. Kita harus lihat bagaimana nak bawa masuk pelabur untuk mendirikan kilang-kilang di sini dan seterusnya ia akan mewujudkan peluang pekerjaan yang berkekalan. Bagi anak muda yang berniaga pula, kita harus merangka strategi  yang menyeluruh supaya, perniagaan mereka dapat berkembang dan menawarkan peluang pekerjaan juga'. Ya ini satu isu yang sangat dekat dengan hati saya, Ayer Molek ini unik sebab ramai penduduk di sini sangat kuat dengan nilai budaya setempat," katanya.

Perlu diakui tempoh masa dua minggu dengan cuaca yang tidak menentu sangat mencabar bagi calon-calon mengatur kempen masing-masing, namun itu bukan satu alasan sebab hakikatnya kalau nak menang, kenalah redah semua kekangan ini.

Calon PH Hakimin Mokthar pula mengakui tempoh 2 minggu tidak mencukupi untuk mendekati semua pengundi tetapi beliau yakin pengundi mempunyai kaedah masing-masing untuk menilai keikhlasan seseorang calon itu.

"Kalau nak cakap benar, memang 14 hari tempoh kempen tak cukup untuk mendekati semua pengundi khususnya pengundi muda, tetapi saya percaya pertemuan yang berkualiti serta interaksi yang berkesan dengan pengundi, itu yang paling penting. Bagi saya bertemu dengan pengundi untuk memperkenalkan diri dan pohon sokongan semata-mata sahaja bukan matlamat saya. Sebenarnya calon kena faham apa yang benar-benar dilalui pengundi dari aspek peluang pekerjaan, perumahan dan  peniaga kecil. Apa yang saya boleh tawarkan," katanya.

Ujian sebenar selepas pemenang diumumkan

Ujian sebenar mana-mana pilihan raya ialah selepas keputusan pemenang diumumkan. Ini kerana pengundi akan sentiasa merujuk kepada mereka bagi membantu menyelesaikan pelbagai masalah, tidak kira yang besar atau yang kecil, semuanya ditujukan kepada wakil yang mereka pilih.

Hakikatnya, pengundi yang tidak menterjemahkan sokongan melalui kertas undi kepada calon yang menang juga akan mencari mereka untuk penyelesaian. Kata orang media 'it's a part and parcel of a politician's life'. Sebagai calon yang menang, semua hal ini perlu dibelakangkan dan tumpuan wajar berpaksikan kepada berkhidmat untuk rakyat setempat. Jika mereka bertanding sekali lagi di kerusi DUN yang sama, siapa tahu pengundi kawasan hitam dan kelabu pun boleh diputihkan berdasarkan prestasi wakil rakyat untuk pilihan raya akan datang.

Apa pun, bagi semua 79 calon bertanding di PRN Melaka, 48 jam terakhir ini menjadi 'last kopek' atau peluang terakhir mereka untuk berkempen demi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka. Sebagai pengamal media saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang bertanding.


*Penulis merupakan seorang pengamal media Malaysia yang memenangi pelbagai anugerah serta bekas pengacara berita dengan pengalaman selama 24 tahun dalam bidang penyiaran. 

**Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
 

 

 

Must Watch Video

Advertisement