PADA pandangan saya, adalah mustahil untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada hari yang sama dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri seperti yang membabitkan PRK Kuala Terengganu.

SPR menetapkan tarikh PRK Kuala Terengganu lebih awal, serentak dengan PRN kerana kekosongan sudah diketahui lebih awal dan pendirian parti calon terbabit, yang dibatalkan keputusan, iaitu Pas memutuskan untuk tidak merayu dan telah dimaklumkan lebih awal, dan sudah diketahui lebih awal.

Jadi SPR ada masa untuk menetapkan PRK Kuala Terengganu lebih awal dan Kuala Terengganu merupakan salah satu kerusi Parlimen yang terletak di Terengganu, yang merupakan salah satu negeri daripada enam negeri yang mengadakan PRN.

SPR menggunakan kesempatan PRN untuk mengadakan PRK serentak

Di bawah undang-undang pilihan raya, PRK boleh diadakan serentak dengan PRN. Tetapi SPR akan mengambil pelbagai faktor seperti masa dan sumber yang ada. Ini termasuklah sumber di pihak SPR untuk mengerahkan para petugas pilihan raya yang turut memerlukan latihan untuk mereka.

Di bawah undang-undang pilihan raya, SPR akan mengadakan mesyuarat penetapan tarikh pilihan raya kecil dalam tempoh 10 hari selepas berlaku kekosongan mengejut.

Di bawah undang-undang pilihan raya, writ dan notis pilihan raya akan dikeluarkan dalam masa minimum 10 hari dari tarikh kekosongan wujud.

Di bawah undang-undang pilihan raya, tarikh penaman calon pula tidak kurang daripada empat hari selepas writ dan notis pilihan raya dikeluarkan.

Tarikh membuang undi tidak kurang daripada 11 hari selepas penamaan calon diadakan.

Jika mengambil kriteria di atas, tidak mungkin PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada hari yang sama dengan PRN 12 Ogos.

Masa suntuk untuk SPR mengadakan PRK serentak

SPR perlu dan akan berlaku adil bagi semua pihak, dan tidak akan tergesa-gesa untuk mengadakan PRK di Johor.

Semua pemegang taruh perlukan masa untuk siap menghadapi PRK. Mereka perlu diberikan masa untuk bersiap sedia.

SPR kena buat persiapan dalam menyediakan petugas, latihan untuk mereka, cetak kertas undi, edar kertas undi untuk kepada pengundi awal dan pos.


* Dr G Manimaran merupakan perunding media dan komunikasi serta penganalisis pilihan raya

** Artikel ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI