KUALA LUMPUR: DAP akan mengadakan Kongres Kebangsaan parti itu pada 20 Mac di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam, kata Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Loke Siew Fook.

Beliau berkata perkara berkenaan diputuskan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) yang bermesyuarat pada 13 Jan lepas, dan tarikh yang ditetapkan adalah selaras dengan nasihat daripada pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS), supaya Kongres Kebangsaan parti itu diadakan sebelum 31 Mac 2022.

"Penangguhan Kongres Kebangsaan sebelum ini telah dibenarkan oleh pihak ROS, disebabkan pelbagai sekatan pergerakan rentas negeri akibat pandemik COVID-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semua pewakilan yang layak menghadiri Kongres tersebut perlu hadir secara fizikal di IDCC untuk proses pengundian CEC DAP, dan agenda mesyuarat yang lain dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) persidangan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara.

Menurut Loke, DAP akan memastikan tempat persidangan mematuhi garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa seperti kapasiti yang dibenarkan, dan semua SOP yang berkaitan.

Notis dan agenda kongres akan dihantar kepada setiap pewakilan mengikut peruntukan Perlembagaan Parti DAP.

Tahun lepas, DAP memohon agar Kongres Kebangsaan parti itu yang dijadual pada 20 Jun 2021 dan semua Konvensyen Biasa Negeri yang belum diadakan, untuk ditunda ke satu tarikh lain.

-- BERNAMA