Skip to main content

Politik

Kongres Nasional PKR 2026 bermula esok, himpun lebih 5,000 perwakilan dan pemerhati

TB_FLAG POLITIK PKR_AWANI
Kongres Nasional PKR 2026 yang menghimpunkan lebih 2,500 perwakilan dan 3,000 pemerhati akan membuka tirai di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, esok. - Gambar hiasan
Advertisement

MELAKA: Kongres Nasional PKR 2026 yang menghimpunkan lebih 2,500 perwakilan dan 3,000 pemerhati akan membuka tirai di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, esok.

Penganjuran kongres dimulai dengan perasmian serentak persidangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita PKR oleh Timbalan Presiden parti Nurul Izzah Anwar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR dijadual merasmikan kongres dan menyampaikan ucapan dasar pada Sabtu.

Beberapa duta asing termasuk dari Amerika Syarikat, China, Jepun dan Australia telah mengesahkan kehadiran ke kongres berkenaan selain pimpinan parti-parti politik.

Mengangkat tema "Memugar Reformasi, Membina MADANI", kongres tahun ini membawa aspirasi untuk memperkukuh semula semangat reformasi yang menjadi asas penubuhan Keadilan, di samping menyesuaikan perjuangan parti dengan cabaran semasa dalam membina Malaysia MADANI.

Pengarah Kongres Nasional PKR 2026, Saifuddin Shafi Muhammad sebelum ini berkata, sepanjang kongres, perbahasan akan tertumpu kepada isu berkaitan ekonomi, pendidikan dan politik, dengan 16 pembahas mewakili sayap parti serta negeri dijadual membahaskan ucapan dasar presiden.

Seperti penganjuran sebelum ini, kongres kali ini juga akan menyampaikan Anugerah Bill Kayong kepada lima keluarga, sebagai penghargaan terhadap jasa ahli keluarga mereka yang berkhidmat kepada parti sehingga akhir hayat.

Beberapa kementerian dan agensi turut memberikan kerjasama bagi penganjuran kongres itu termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Karnival Rahmah Mega oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka turut dianjurkan bersempena dengan kongres itu khusus bagi menyediakan perkhidmatan terus kepada perwakilan, pemerhati dan terbuka untuk semua rakyat Melaka.

Anwar dijadualkan menggulung perbahasan pada Ahad sebelum menangguhkan kongres berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement