BANGI: Kongres Nasional PKR 2026 yang akan berlangsung minggu ini akan memberi tumpuan kepada agenda reformasi, pembangunan ekonomi dan pengukuhan parti, kata Naib Presiden Datuk Seri Amirudin Shari.
Menteri Besar Selangor itu berkata pada kongres berkenaan, kepentingan kestabilan kerajaan serta masa depan parti turut diambil kira dalam membuat sebarang keputusan.
“Setakat ini, usulnya sangat jelas… berkenaan dengan politik iaitu bagaimana mengangkat agenda reformasi, membangunkan ekonomi, pengukuhan parti selain ucapan dasar presiden,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Human Ecology International Conference II (HEIC-II) 2026 di sini hari ini.
Mengenai keputusan parti memberikan cuti sementara kepada Nurul Izzah Anwar daripada jawatan Timbalan Presiden PKR, Amirudin berkata ia tidak akan menjejaskan perjalanan kongres berkenaan.
“Parti sudah pasti sedikit sebanyak akan terkesan tetapi kita mempunyai barisan kepimpinan yang kaliber untuk menanggung kerja tersebut dan parti telah memberikan amanah kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (menjalankan tugas Timbalan Presiden),” katanya.
Pada 6 Ogos lepas, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bersetuju memberi cuti sementara kepada Nurul Izzah daripada menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden parti, bermula selepas Kongres Nasional PKR 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Ditanya sama ada keputusan Nurul Izzah itu mengejutkan parti, Amirudin yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR berkata spekulasi mengenai perkara itu telah timbul sejak sekian lama dalam kalangan pemain politik.
“Saya rasa spekulasi sudah timbul lama oleh pemain-pemain politik dan saya dengar-dengar juga. Cuma itu baru dikemukakan sekarang dan beliau juga kena melihat masa dan kita kena hormati… sebab tiada guna kita memaksa beliau bila ada beberapa kekangan yang perlu ditangani secara peribadi,” kata Ahli Parlimen Gombak itu.
Melaka menjadi tuan rumah bagi Kongres Nasional PKR 2026 yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh selama empat hari bermula Khamis ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR dijadual merasmikan kongres berkenaan pada Sabtu ini (15 Ogos).
-- BERNAMA