SHAH ALAM: Ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Aizat Fikri Mohd Nasir mengesahkan telah menerima surat maklum balas dari Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung aduan mengenai Pelanggaran Perlembagaan UMNO semasa Persidangan Agung UMNO 2022 (PAU 2022).

Beliau berkata, menerusi surat bertarikh 26 Januari itu, RoS menyatakan sedang dalam proses semakan dan siasatan terperinci berkaitan aduan yang dibuat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak RoS kerana telah mengambil serius aduan saya mengenai Pelanggaran Perlembagaan UMNO semasa PAU 2022.

“Saya berharap Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan tidak mendahului pihak RoS dalam membuat keputusan dan tidak mencampuri siasatan yang sedang dijalankan RoS,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, tindakan tersebut boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap institusi yang menjaga tatakelola pertubuhan di Malaysia.

BACA: Usul tidak tanding dua jawatan tertinggi UMNO tidak langgar perlembagaan parti

Ahmad Maslan menerusi Facebooknya pada Jumaat menegaskan, tiada pelanggaran perlembagaannya atau Peraturan Mesyuarat ketika PAU 2022 berkenaan berlangsung.

Aizat berkata, kenyataan Ahmad Maslan yang menggambarkan perkara berkenaan seolah-olah selesai adalah ‘premature’.

“Saya percaya RoS akan menjalankan siasatan yang eksplisit dengan memanggil perwakilan-perwakilan yang berada di Dewan Merdeka termasuklah Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO bagi mendapatkan gambaran yang jelas dan adil," katanya.

Tambahnya lagi, dalam perbincangan bersama tempoh hari, RoS juga memaklumkan mereka sendiri akan mendapatkan nasihat dan panduan daripada penasihat undang-undang kementerian.

“Bagi saya hal ini jauh dari selesai, semoga kebenaran akan tertegak jua,” ujarnya. — Sinar Harian