Pengerusi MCA Kedah Datuk Lee Chee Leong memberi tempoh dua minggu kepada Timbalannya, Datuk Leong Yong Kong untuk mempertimbangkan keputusannya yang mahu keluar daripada parti itu.

Beliau berkata dalam pertemuannya dengan Leong petang tadi, beliau ada meminta Leong, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan Negeri untuk terus kekal dalam parti dan menyuarakan sebarang ketidakpuasan hati menerusi parti.

"Memang dia ada suarakan tidak puas hati terhadap isu pembentangan Hudud tersebut.. Dia minta parti untuk atasi isu pembentangan hudud di Parlimen..Lepas itu dia kata nak minta cuti dua minggu.

"Selepas dua minggu ini bermula hari ini, perbincangan dengan Leong mengenai perkara ini akan diadakan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ulang Tahun ke-88 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yik Min di sini pada Khamis.

Dalam sidang media tergempar petang Jumaat, Leong yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Gurun didakwa mengumumkan akan keluar daripada MCA kerana tidak berpuas hati dengan pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenyah) (Pindaan 2010) di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Leong bagaimanapun tidak meletakkan jawatannya sebagai exco dan menyerahkan kepada Presiden MCA Datuk Seri Liow Tong Lai untuk menggantikannya (sebagai Timbalan Pengerusi MCA Kedah).

Leong hanya memanggil wartawan akhbar berbahasa Cina dalam sidang media tersebut.

Leong yang menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun, pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan pada 20 Mac 2014.

Ditanya mengenai pendirian MCA Kedah dalam isu hudud, beliau berkata, semua ahli MCA negeri akan berdiri teguh di belakang pendirian Presiden MCA.