Skip to main content

Politik

Lima Ahli Parlimen PKR kecewa MyKHAS Parlimen Ampang disekat

SHAH ALAM- Lima Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) kecewa apabila kerajaan menyekat akses portal peruntukan khas (MyKHAS), Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail._Sinar Harian
Dari kiri Rodziah, Chean Chung, Zahir Hassan dan Wong Chen. - Foto Sinar Harian
Advertisement

SHAH ALAM: Lima Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) kecewa apabila kerajaan menyekat akses portal peruntukan khas (MyKHAS), Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.

Menerusi kenyataan bersama pada Sabtu, mereka berkata, Rodziah merupakan wakil rakyat kerajaan ketiga yang dinafikan hak untuk menguruskan peruntukan kawasan Parlimennya.

"Sekali lagi, penyalahgunaan kuasa yang serius ini mendedahkan bagaimana Kerajaan Madani semakin mengaburkan sempadan antara parti dengan kerajaan dan antara demokrasi dengan autokrasi.

"Lebih serius lagi, apabila akses MyKHAS wakil rakyat yang dipilih disekat, tetapi pengurusan peruntukan kawasan diserahkan kepada individu atau 'proxy' yang disenangi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sejak bila seorang proxy yang tidak dipilih rakyat mempunyai mandat yang lebih besar daripada seorang ahli Parlimen yang dipilih melalui pilihan raya?" katanya.

Lima wakil rakyat itu ialah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Lee Chean Chung (Petaling Jaya); Rodziah; S Kesavan (Sungai Siput) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju).

Rodziah dilaporkan mendakwa pusat khidmatnya tidak lagi dibenarkan mengakses sistem MyKhas yang digunakan untuk menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.

Sebelum ini, Chean Chung dan Wong Chen yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, turut dilaporkan menerima nasib sama.

Sementara itu, menurut mereka peruntukan kawasan bukan hadiah daripada Perdana Menteri kepada ahli Parlimen, sebaliknya menuntut mandat rakyat dihormati dan tidak dijadikan mangsa kepada perbezaan politik.

Mereka juga mempersoalkan asas pelantikan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin sebagai Penyelaras Parlimen Ampang, termasuk sama ada tugas berkenaan berada dalam skop tugas hakikinya serta kapasiti untuk memikul tanggungjawab tambahan itu.

"Kami juga menuntut Perdana Menteri menjelaskan peruntukan undang-undang, peraturan atau dasar yang digunakan bagi menyekat akses MyKHAS kepada tiga Ahli Parlimen kerajaan terbabit.

"Sekiranya seseorang Ahli Parlimen melakukan kesalahan, siasatan dan tindakan sewajarnya perlu dibuat mengikut undang-undang, manakala pelanggaran tatacara parti perlu diuruskan melalui Lembaga Disiplin tanpa menjadikan peruntukan rakyat sebagai senjata politik.

“Reformasi tidak bermaksud mempolitikkan peruntukan rakyat dan menggantikan wakil yang dipilih rakyat dengan proxy pilihan sendiri,” katanya.

Mereka turut menegaskan tuntutan berkenaan bukan untuk mendapatkan layanan istimewa, sebaliknya memastikan satu prinsip dihormati iaitu mandat rakyat. -- Sinar Harian
 

Must Watch Video

Advertisement