Skip to main content

Politik

“Mahu anak jadi calon PRN, bukan sebab Istana” - Asyraf Wajdi dedah punca Puad Zarkashi keluar UMNO

Sumber: BERNAMA
Asyraf Wajdi (kanan) mendakwa, Mohd Puad pernah menulis kepadanya secara panjang lebar, mengugut untuk keluar parti dan menghentam UMNO sekiranya kepimpinan tertinggi tidak mempertimbangkan anaknya sebagai calon di DUN Rengit. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa, keputusan Datuk Mohd Puad Zarkashi keluar parti bukan berpunca daripada dakwaan campur tangan Institusi Diraja dalam urusan UMNO Johor.

Sebaliknya, dakwa beliau, bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu sebelum ini pernah mengugut untuk meninggalkan parti sekiranya kepimpinan tertinggi UMNO tidak mempertimbangkan anaknya sebagai calon Barisan Nasional (BN) DUN Rengit bagi Pilihan Raya Negeri (PRN). 

“Beliau sendiri pernah menulis kepada saya secara panjang lebar, mengugut untuk keluar parti dan menghentam UMNO sekiranya kepimpinan tertinggi tidak mempertimbangkan anaknya sebagai calon di DUN Rengit,” katanya dalam hantaran di akaun media sosial beliau pada Khamis.

Menurut Asyraf, meskipun anak Puad masih muda dan berpotensi untuk diketengahkan sebagai pemimpin masa depan, pemilihan calon dilakukan berdasarkan pelbagai pertimbangan, bukan faktor hubungan kekeluargaan.

Beliau menegaskan, tindakan mensyaratkan ahli keluarga sebagai calon dengan ugutan keluar parti adalah tidak wajar dilakukan oleh seorang pemimpin berpengalaman.

“UMNO bukan parti warisan keluarga yang mengutamakan anak-beranak atau suku-sakat untuk menjadi pemimpin,” tegasnya.

Asyraf turut mendakwa, ini bukan kali pertama Puad mengugut untuk meninggalkan parti apabila kehendaknya tidak dipenuhi.

Menurutnya, ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Presiden UMNO, Puad juga didakwa pernah mengugut untuk keluar parti sekiranya tidak dicalonkan semula sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat.

Beliau menegaskan, perjuangan UMNO adalah lebih besar daripada kepentingan individu atau keluarga, dan parti itu tidak seharusnya tunduk kepada tekanan mana-mana pihak.

“Perjuangan UMNO jauh lebih besar daripada kepentingan peribadi, tuntutan keluarga atau kekecewaan individu. UMNO mesti terus berdiri sebagai parti perjuangan bangsa, agama dan tanah air,” katanya.

Terdahulu, Puad mengumumkan keluar UMNO serta-merta dengan mendakwa UMNO Johor tidak lagi bebas membuat keputusan kerana dipengaruhi Institusi Diraja.

Bagaimanapun, dakwaan itu telah dinafikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Must Watch Video

Advertisement