ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mendakwa terdapat surat daripada Kementerian Kewangan (MOF) yang dihantar kepada Pejabat Sultan Kedah berhubung cubaan menyingkirkannya daripada mewakili negeri itu dalam Majlis Kewangan Negara.

Tegas beliau, perkara berkenaan bukan cerita atau rekaan yang diciptanya sebaliknya benar-benar berlaku.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) itu tidak berhasrat mendedahkan surat berkenaan buat masa ini.

"Surat (yang dihantar itu adalah) daripada MOF, tak payah (saya dedahkan buat masa ini), cukup setakat itu... saya beritahu (surat itu) daripada MOF.

"(Memang) ada (surat), bukan pertahankan, sebab benda itu ada, (oleh kerana) benda itu ada, (saya fikir) jangan pergi sampai hujung lagi (untuk dedahkan).

"Ini baru main separuh masa pertama, (kita mula pula selepas) tiup wisel separuh masa kedua, kita masuk (serangan) lain pula.

"Kalau mereka mahu 'game' saya, kena (rancang strategi) 'step by step', ini (kalau) hendak 'finishing' terus, tak boleh macam itu," katanya.

Sanusi berkata demikian ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, pada Rabu

BACA: Mahfuz tempelak Sanusi isu dakwaan singkir daripada Majlis Kewangan Negara

BACA: Sanusi patut belajar daripada Menteri Besar Perlis dan Kelantan - Mahfuz

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah Datuk Mahfuz Omar, menempelak tindakan Muhammad Sanusi yang mendakwa terdapat usaha terancang untuk menyingkirkannya daripada mewakili negeri itu dalam Majlis Kewangan Negara.

Mahfuz mendakwa kenyataan itu adalah sesuatu yang sangat jahat dan menyifatkan beliau cuba menarik simpati orang ramai dengan menggambarkan seolah-olah Kedah dianiaya melalui penganiayaan terhadap dirinya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi dilaporkan mendakwa, ada usaha untuk menamakan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Norizan Khazali sebagai penggantinya dalam Majlis Kewangan Negara, dan beliau turut mendakwa gerakan itu berlaku akibat kelantangannya mengkritik Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, mengulas mengenai saranan Mahfuz supaya beliau 'belajar' daripada Menteri Besar Perlis dan Kelantan dalam soal pentadbiran khususnya melibatkan hubungan dengan kerajaan Persekutuan, Muhammad Sanusi berkata, tiada masalah dengan perkara itu.

Katanya, beliau boleh menjalinkan persahabatan dengan semua pihak tanpa mengira latar belakang, malah ia dilakukan dengan lebih baik berbanding Mahfuz.

Menurut beliau, kelantangannya selama ini adalah dalam mempertahankan pentadbiran kerajaan Kedah daripada tuduhan yang tidak benar daripada beberapa pimpinan di peringkat Persekutuan khususnya melibatkan isu Kedah Aerotropolis dan tanah rizab Melayu di negeri itu.