KUALA LUMPUR : Pembentukan kerajaan baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengetepikan ego berikutan kedudukannya yang masih mempunyai majoriti tipis.

Pengarah Komunikasi Penyelidikan untuk Kemajuan Sosial (REFSA), Raja Ahmad Iskandar Fareez berkata, sekiranya perkara sama berulang, maka jangka hayat kerajaan pimpinan Ismail Sabri tidak akan bertahan lama.

“Kalau beliau (Ismail Sabri) tidak dapat atasi ego maka berkemungkinan kerajaan akan kembali tumbang atau tidak kekal lama.

“Jika masih kekal kepada permainan politik lama, situasi ini akan memberi kesan kepada parti kawan mahupun lawan yang enggan memberikan sokongan untuk meneruskan pentadbiran,” katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.


PM ke-9 | Membina Malaysia di bawah pentadbiran baharu

Ujarnya lagi, situasi sama yang berlaku terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini yang cuba memberikan tawaran kepada pihak pembangkang namun langkah itu dikatakan sudah terlambat.

Dalam masa yang sama, Raja Ahmad turut berpendapat, amatlah penting bagi kerajaan untuk mengambil kira segala input daripada pihak pembangkang terutamanya soal mengatasi wabak COVID-19.

Justeru, kegagalan sama tidak boleh berulang seperti apa yang telah dilakukan kerajaan sebelum ini yang hanya memutuskan sebarang keputusan di peringkat eksekutif.

“Beliau (Ismail Sabri) perlu buka ruang diskusi bersama pembangkang jadi penggubalan dasar tidak lagi dibuat hanya di peringkat kerajaan malah ia akan menambah baik proses demokrasi yang mendatangkan kebaikan untuk semua,” katanya.

[LAPOR LANGSUNG] Ismail Sabri PM ke-9