Masalah dihadapi negara sedikit sebanyak berpunca dari Tun sendiri - UMNO

Tan Sri Annuar Musa berkata, pihak UMNO dan Muafakat Nasional hanya perlu menunggu pengumuman daripada Istana Negara mengenai sebarang keputusan berkenaan.

ANNUAR: Masalah yang dihadapi negara pada ketika ini sedikit sebanyak adalah berpunca daripada Tun sendiri. - Foto Astro AWANI | Astro Awani
UMNO mengambil sikap untuk tidak membuat sebarang komen berkenaan kenyataan Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak menemui mana-mana individu yang memiliki majoriti jelas.

Menurut Setiausaha Agungnya Tan Sri Annuar Musa, pihak UMNO dan Muafakat Nasional hanya perlu menunggu pengumuman daripada Istana Negara mengenai sebarang keputusan berkenaan.

"Tiada kenyataan mengenai hal itu dan kami tunggu kenyataan rasmi daripada Istana Negara," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato' Onn pada Khamis.

Bagaimanapun, jelasnya UMNO dan Muafakat Nasional tetap dengan pendirian agar Parlimen dapat dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya dijalankan.

"Kita harap akan mendapat mandat rakyat daripada pilihan raya nanti," jelasnya.

Beliau sebelum itu mengadakan perjumpaan dengan semua ketua-ketua bahagian UMNO bersama Presiden serta Ahli-ahli Majlis Tertinggi.

BACA: Tiada majoriti bentuk kerajaan, serah pada Dewan Rakyat - Tun M

Ia bagi memberi penerangan mengenai perkembangan semasa politik negara selain persiapan jentera pilihan raya bagi menghadapi kemungkinan pembubaran Parlimen.

Tambah beliau, UMNO juga mengambil sikap dan pendirian bahawa parti itu memahami situasi yang dihadapi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ini semasa mengulas kenyataan beliau semalam yang menyentuh hal parti.

"Masalah yang dihadapi negara pada ketika ini sedikit sebanyak adalah berpunca daripada Tun sendiri.

"Walaupun kenyataan itu menghiris hati ahli-ahli UMNO, namun kita seru agar semua ahli UMNO dapat bersabar," katanya ketika merujuk kenyataan Dr Mahathir tersebut.