ALOR SETAR: Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad berharap akan mendapat lebih banyak sokongan daripada masyarakat Cina di negara ini agar parti itu dapat bersaing dengan parti lain dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini. 

Menurut beliau, penubuhan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) tanpa bangsa lain adalah untuk memberi saingan kepada UMNO yang didakwanya sebagai 'parti jahat' selepas berlakunya beberapa skandal rasuah dan penyelewengan membabitkan pimpinan parti itu.

"PEJUANG ialah parti Melayu yang bukan anti-Cina, tapi anti-Melayu yang tidak baik dan kita hendak menjatuhkan kerajaan itu dalam pilihan raya ini dan dirikan kerajaan baharu yang terdiri daripada orang yang bersih daripada semua jenis kesalahan jenayah.

"Kita harap orang Cina akan beri sokongan. Dalam Malaysia, ada kawasan yang majoritinya penduduk Cina, orang Melayu pula jadi minoriti. Ada kawasan yang majoritinya penduduk Melayu, orang Cina jadi minoriti, jadi orang Melayu ini sudah pecah empat.

"Kalau orang Cina bagi sokongan kepada mana-mana parti pun, parti itu akan menang ... jadi saya berharap orang Cina akan bantu Gerakan Tanah Air,"katanya kepada pemberita dalam sesi dialog bersama masyarakat Cina di Pekan Cina di sini, hari ini.|


LIHAT CALON-CALON DAN KEPUTUSAN PRU14 DI SINI


Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata sehingga kini beliau telah berjumpa dengan ramai masyarakat Cina dan menerangkan kepada mereka mengenai perjuangan PEJUANG sebagai sebuah parti Melayu.

Katanya, kebanyakan masyarakat Cina yang ditemui faham dan beliau sudah tunjukkan bahawa kerajaan Melayu yang baik sebelum ini.

"Kalau orang Cina sokong pada mana-mana parti, parti itu akan menang. Jadi, saya turut berharap orang Cina akan membantu GTA supaya jadi kerajaan dan bila kita jadi kerajaan kita akan hapuskan orang yang jahat yang ada sekarang ini.

"Kita akan ada kerajaan yang baik yang mengikut undang undang akan beri layanan kepada semua kaum mengikut Perlembagaan negara.


"Kita akan dirikan satu kerajaan yang bersih dan kita akan berusaha akhirnya Malaysia akan kembali jadi Harimau Asia dan pada masa itu saya yakin baik orang Cina, Melayu, India semuanya akan dapat layanan baik dan perniagaan dapat dijalankan  tanpa gangguan," ujarnya.

Dalam PRU15 ini, negarawan berusia 97 tahun yang merupakan penyandang Kerusi Parlimen P004 Langkawi, bakal berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Armishah Siraj, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (Perikatan Nasional-PN), Zabidi Yahya (Pakatan Harapan-PH) dan calon Bebas, Datuk Abd Kadir Sainudin.