SEREMBAN : Istiadat Angkat Sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan akan diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada Isnin, jam 3 petang.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun kepada media pada Ahad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar sebaik sahaja menerima panggilan telefon, dipercayai daripada pihak Istana.

Begitupun, katanya, individu yang bakal mengangkat sumpah masih belum dimuktamadkan dan masih tertakluk kepada perbincangan.

“Itu akan diputuskan kepimpinan parti di peringkat Pusat supaya dapat disegerakan sebab Tuanku nak disegerakan.

“Saya tak serahkan sebarang nama. (Keputusan memilih Menteri Besar) Ini keputusan pucuk pimpinan parti di peringkat tertinggi.

“Keputusan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pengerusi Pakatan Harapan)... harapnya selesai jawatan Exco sekali jugalah, kalau boleh disekalikan.

“Kalau tidak, Menteri Besar dahulu,” katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan pada Ahad.

Jelas beliau, dari segi pelantikan Exco pula, Aminuddin berkata ia akan mewakili semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PH dan Barisan Nasional.

Beliau juga menasihatkan semua ahli dan penyokong PH - BN di negeri tersebut untuk bersabar dan beliau memberi jaminan semuanya akan diselesaikan sesegera mungkin.

Sebelum itu, Aminuddin memaklumkan beliau dititahkan menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada pagi Ahad.

Tambah Aminuddin, beliau mempersembahkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) kepada baginda dan beberapa perkara lain berhubung kelancaran pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya telah sampaikan keputusan PRN. Saya memaklumkan kepada Tuanku, menerangkan situasi berlaku pada hari ini.

“Itu saja pertemuan pada hari ini dan ada beberapa perkara juga dibincangkan bagi memastikan kerajaan negeri dapat berjalan dengan baik,” ujarnya.

PRN di Negeri Sembilan menyaksikan gabungan PH - BN membentuk kerajaan negeri selepas memperoleh 31 kerusi dengan Perikatan Nasional (PN) hanya mendapat lima kerusi.


[TERKINI] Sidang Media Datuk Seri Aminuddin Harun